Aktres jelita Rita Rudaini bakal menerbitkan program realiti pencarian bakat pemain bola sepak tempatan selepas berjaya menubuhkan kelab bola sepak RR Cougars FC sebelum ini.

Menurut Rita, setelah dua tahun memainkan peranan sebagai pengasas merangkap presiden kelab bola sepak itu, dia kini berhasrat untuk mencungkil bakat baharu bola sepak tempatan dalam kalangan generasi muda.

"Setelah dua tahun berperanan sebagai pengasas dan presiden RR Cougars FC, kini saya berasa terpanggil untuk mencari bakat baharu dalam kalangan pelapis muda.

"Saya juga telah berbincang dan mengemukakan kertas kerja kepada pihak kementerian berkaitan, respon yang diterima amat baik sekali.

"Sekiranya perkara ini berjaya dilaksanakan, kami juga bercadang untuk bekerjasama dengan kelab bola sepak luar sama ada negara serantau atau kelab bola sepak di Eropah," katanya kepada Gempak.

Rita berkata demikian ketika ditemui di sidang media kejohanan RR Junior Cup 2019 bertempat di Oakwood Hotel, Kuala Lumpur petang tadi.

Kejohanan RR Junior Cup dijangka berlangsung pada 20 dan 21 Julai 2019 di Arena Bola Sepak Eco Ardence Setia Alam, Selangor.

Kejohanan tersebut akan dipertandingkan mengikut tiga kategori iaitu bawah lapan tahun, 10 dan 12.