Penyanyi Kilafairy bersyukur dapat menyempurnakan tugas sebagai seorang anak sehingga pemergian arwah ibunya, Allahyarham Rohana Jalil malam tadi.

Kata Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan dia sendiri dapat memandikan jenazah dan menyempurnakan pengebumian ibunya.

“Saya berada di sisi mama dari awal sehinggalah semuanya berakhir. Malah, saya juga di sisinya ketika dia menghembuskan nafas terakhir.

“Alhamdulillah, mama pergi dalam keadaan baik dan semuanya dipermudahkan. Malah, mama juga pergi dalam keadaan seolah-olah tersenyum.

"Semestinya saya bersedih dengan pemergian mama, namun hasil didikan ibu bapa, saya reda dengan suratan dan ketentuan Allah SWT," katanya kepada Gempak.

Kilafairy ditemui di majlis pengebumian Rohana di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya pada Rabu.

Tambah Kilafairy lagi, pengalaman berada di sisi arwah ibunya sehingga menghembuskan nafas terakhir sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Mungkin itu juga yang membuatkan saya lebih tenang berdepan ujian ini," ujarnya.

Terdahulu, Allahyarham Rohana Jalil telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kira-kira jam 11:33, malam Selasa.

Rohana Jalil, 68 telah dirawat di hospital sejak April lalu disebabkan kebocoran usus dan terpaksa diletakkan di wad pemantauan.

Media melaporkan jantung Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil boleh terhenti pada bila-bila masa kerana jangkitan kuman telah merebak ke beberapa organ dalaman.

Untuk info, arwah mendirikan rumah tangga dengan Jahangir Khan pada 1984 dan dikuniakan tiga orang cahaya mata termasuk pelakon, Kilafairy.

ARTIKEL BERKAITAN: Belasungkawa: Meninggal Dunia Pada Usia 68, Berpulangnya Penyanyi Berhati Mulia Rohana Jalil

ARTIKEL BERKAITAN: "Mohon Doakan Arwah Mama" - Kilafairy

ARTIKEL BERKAITAN: TERKINI! Rohana Jalil Meninggal Dunia