Penyanyi Dayang Nurfaizah mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap masalah teknikal yang dihadapinya sewaktu membuat persembahan di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) yang berlangsung malam tadi.

Menerusi laman sosial Instagram, Dayang berkongsi luahan tersebut untuk tatapan umum.

View this post on Instagram

A post shared by Dayang Nurfaizah (@dayangsayangkamu)


“Dayang ingin mengucapkan terima kasih kepada team AME2021 kerana sudi mengundang Dayang untuk menjadi salah seorang penghibur tahun ini.

“Walaupun sudah beberapa kali melakukan persembahan di AME sebelum ini, namun kali ini sangat istimewa kerana Dayang dapat mempersembahkan dua lagu daripada album Belagu, sebuah album yang sangat istimewa di hati Dayang.

“Pihak Dayang mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas masalah teknikal yang berlaku sewaktu persembahan Dayang tadi. Pihak produksi Astro telah melakukan persediaan sempurna untuk persembahan Dayang,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Tampil membuat persembahan memukau dengan dua lagu daripada album Belagu iaitu Jikalau Abang Merindu dan Tari Tualang Tiga, anak kelahiran Sarawak ini berdepan beberapa isu teknikal seperti mikrofon serta ear monitornya tidak berfungsi.


Sementara itu di laman sosial Twitter, cara Dayang berdepan dengan isu tersebut mendapat pujian daripada wargamaya malah rakan selebriti sendiri.

“Bila pengalaman dah meluas, telinga dah self-monitor... walaupun mikrofon tak berbunyi, inner ear monitors dah unreliable.. no problem. Instinct kuat. Dayang Nurfaizah is in a league of her own. Salute,” tulis Adibah Noor.

“Apela sound system #AME2021 ni persembahan Dayang Nurfaizah tadi dgn mic problem mula-mula tambah ear monitor tak function. Selamat Dayang pro teruskan jugak walaupun ade lari tempo sikit-sikit,” ujar seorang wargamaya.

“Yup mcm mana la dia boleh without ear monitor tu. Gila legend laaaaa salute! @DayangNurfaizah she’s the real winner and saved the show tonight,” puji seorang wargamaya.

“Nampak level pro @DayangNurfaizah ada problem pon still maintain nyanyi in character,” kata seorang wargamaya.

“She tetap profesional. Sayang Dayang,” komen seorang wargamaya lagi.

Pada malam AME2021 yang berlangsung penuh gemilang malam tadi, penyanyi Shiha Zikir dinobatkan sebagai Top Top MeleTOP Wanita, Khai Bahar sebagai Top Top MeleTOP Lelaki dan Dolla pula merupakan pemenang bagi Top Top MeleTOP Duo/Berkumpulan.

AME2021 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) secara langsung dan eksklusif di Astro Ria (saluran 104).

Kredit foto: Instagram @dayangsayangkamu, Twitter @edd977