Astro Oasis kini muncul dengan program terbaharu yang mengajak penonton berhibur sambil mendalami tulisan jawi berjudul Mawi Jawi.

Program terbitan MWE Sdn Bhd ini merupakan sebuah program berkonsepkan game show yang melibatkan barisan selebriti, influencers serta para asatizah dalam permainan-permainan yang menggunakan tulisan jawi sebagai medium.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim, program ini adalah sebagai antara usaha untuk memartabatkan dan mengangkat keagungan sesuatu bahasa.

“Kami mengambil peluang ini untuk mengembalikan kesempurnaan penggunaan tulisan Jawi dalam aktiviti harian setiap umat Islam dengan cara yang lebih mudah dan menyeronokkan.

“Mawi Jawi membawakan konsep permainan yang dilakukan sepenuhnya dalam tulisan jawi seperti teka silang kata dan mencari perkataan tersembunyi, di mana ia mampu membawa perasaan nostalgik para penonton yang mula-mula mengenali tulisan jawi di kelas agama mereka dengan kaedah yang sama.

“Bukan itu sahaja, program ini juga menampilkan barisan selebriti dan personaliti ternama yang pelbagai karakter untuk melahirkan sedikit gelak tawa dan hiburan yang baharu di kaca televisyen.

“Menerusi program ini, kami berharap para penonton mampu menerokai kehebatan dan keagungan tulis Jawi serta menjadikan kaedah permainan-permainan sebegini sebagai jalan untuk mendidik anak-anak muda dalam menguasai tulisan Jawi dalam kehidupan harian mereka,” jelasnya.

Mawi Jawi dihoskan oleh juara Akademi Fantasi musim ketiga, Mawi bersama penyampai radio ZAYAN, Anas Tahir.

KEUNIKAN PROGRAM

Keunikan program ini dalam memartabatkan tulisan jawi bersama-sama selebriti dan personaliti terkenal merupakan sebuah konsep baharu yang dapat menggalakkan lebih ramai penonton untuk mendalami jawi dengan cara yang lebih menyeronokkan.

Mawi Jawi akan menampilkan tiga tetamu jemputan setiap minggu yang diwakili oleh selebriti dan personaliti terkenal mengikut persamaan karier masing-masing sebagai peserta.

Setiap daripada mereka akan bermain dua pusingan permainan dalam jawi untuk meraih markah.

CARA BERMAIN

Dalam pusingan pertama, para peserta akan mencari perkataan tersembunyi atau teka silang kata bergantung kepada episod.

Dalam permainan mencari perkataan tersembunyi, para peserta perlu mencari perkataan tersebut di Papan Word Search yang disediakan.

Mereka perlu mencari sebanyak perkataan yang mereka boleh dalam masa 80 saat secara serentak. Markah akan dikira dengan jumlah perkataan betul yang paling banyak dari setiap peserta.

Manakala dalam permainan teka silang kata, setiap peserta perlu menyelesaikan silang kata yang diberikan dalam masa yang ditetapkan iaitu 80 saat.

Petunjuk akan diberikan di papan teka silang untuk membantu mereka meneka jawapan yang betul. Markah akan dikira melalui berapa banyak teka silang kata yang dapat diselesaikan.

Kumpulan markah daripada pusingan pertama akan dibawa ke permainan pusingan kedua di mana para peserta perlu menulis dalam jawi.

Setiap peserta akan ditunjukkan sebaris ayat yang sama dalam rumi. Kemudian mereka akan mula menulis ayat yang diberikan dalam tulisan jawi.

Mereka yang menulis perkataan jawi dengan betul akan mendapat markah yang lebih.

Pada akhir permainan, peserta yang mendapat jumlah markah tertinggi akan dinobatkan sebagai pemenang.

Walau bagaimanapun, sekiranya para peserta mendapat jumlah markah yang sama pada akhir permainan, pemenang akan ditentukan dengan satu pusingan pantas di mana para peserta dikehendaki menulis perkataan yang diberikan oleh pengacara secara spontan dalam tulisan jawi dalam masa 30 saat sahaja.

Peserta yang terpantas dan betul akan dipilih sebagai pemenang.

Lebih menarik, program ini membawa episod istimewa Geng Romantis di mana Mawi ditemani oleh isterinya, Ekin sebagai pengacara program dengan menampilkan para peserta berpasangan suami isteri.

Pada akhir program, para peserta yang mendapat jumlah markah tertinggi akan memenangi percutian percuma untuk menunaikan umrah.

Saksikan Mawi Jawi setiap Khamis, jam 7.30 malam secara eksklusif di saluran Astro Oasis (106) serta boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.

Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati rancangan hiburan ini di Astro.