HIBURAN
Melissa Champbell Kongsi Cabaran Shooting Astro Originals First Wives Ketika Hamil - “Saya Ni Jenis Tak Suka Duduk Rumah”
Pelakon, Melissa Champbell mengakui dia tidak pernah menganggap kehamilan sebagai satu cabaran besar ketika menjalani pengambaran siri Astro Originals, First Wives.
Jelas Melissa, kerjasama yang diberikan oleh pihak produksi banyak membantunya sepanjang tempoh pengambaran itu berlangsung.
“Sebenarnya banyak cabaran, tapi saya sangat seronok sebab mereka adalah pasukan yang bagus. Saya tak anggap ia sebagai cabaran sebab saya jenis yang tak suka duduk rumah. Saya perlu bekerja, saya perlu buat sesuatu.
“Dan saya rasa itu sangat membantu untuk saya tak terlalu fokus pada simptom mengandung,” katanya kepada Gempak.
Tambah aktres itu, sepanjang penggambaran itu berlangsung dia tidak mengalami sebarang simptom kehamilan seperti morning sickness, sebaliknya hanya berdepan dengan cuaca panas yang agak mencabar membuat dirinya berasa sedikit penat.
“Saya tak ada morning sickness, tapi cabaran saya ketika berlakon dalam siri First Wives ni adalah cuaca panas. Tambah pula tengah mengandung, kerja dalam panas cukup memenatkan saya.
“Hari terakhir penggambaran baru saya rasa letih sikit, tapi saya dah biasa sebab sebelum ni pernah berlakon filem sampai 16 jam tetapi saya tetap ambil masa untuk berehat di set penggambaran,” kongsinya.
Pada masa sama, Melissa yang memegang watak Michelle dalam siri tersebut turut menyifatkan karakter itu sangat sesuai dengan dirinya ketika sedang hamil, malah memberikan motivasi untuk menjayakannya dengan lebih ikhlas.
“Bagi saya, memegang watak Michelle adalah sesuatu yang cukup sempurna untu saya. Watak ni beri saya semangat, dan saya tak perlu pun berpura-pura bawa karakter tu. Semua jadi semula jadi,” jelasnya.
Meskipun terbiasa melakukan aktiviti lasak, Melissa turut mendapatkan kebenaran daripada doktor sebelum melakonkan babak-babak mencabar.
Namun, dia tetap meletakkan keselamatan diri dan bayi dalam kandungan sebagai keutamaan.
“Saya dah biasa buat aktiviti lasak. Jadi nak buat babak lasak dalam penggambaran tu tak ada masalah. Lagipun doktor benarkan, cuma saya tahu ada had. Saya tak paksa diri buat benda yang boleh bahayakan diri atau kandungan. Kesihatan saya dan anak tetap nombor satu.
“Apa yang saya boleh katakan, saya masih boleh buat babak-babak lasak walaupun tengah mengandung, cuma saya cepat letih sikit. Tapi saya gembira sebab saya masih dapat lakukannya dengan baik,” katanya.
Sekadar info, Melissa Champell mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Winston Chew pada Oktober tahun lalu dan kini mempunyai seorang anak lelaki, Malekai Chew yang berusia sembilan bulan.
Astro Originals First Wives menampilkan Mimi Lana (Diyana), Malek Mccrone (Azzim), Melissa Campbell (Michelle) dan Charles Roberts (Roshan).
Selain itu, First Wives turut menggabungkan barisan pelakon senior dan baru bagi mewarnai setiap karakter, seperti pelakon Andy Teh, Carmen Soo, Theebaan G, Zeera Azizi dan Sathisvaran.
First Wives merupakan terbitan Astro Shaw dan produksi oleh Infinitus Productions.
Sementara itu pengarahnya adalah Imri Nasution, penulis skrip oleh Catalina Mae Hubbard, Ilya Karnain, Luqman Sheikh Ghazali, Dee Dee Peter.
Drama premium 8 episod ini akan menemui penonton bermula 11 April, setiap Isnin jam 9 malam, di Astro Citra (saluran 108), manakala Astro Ria (saluran 104).
Manakala pada 12 tengah malam menerusi platfrom On Demand, Astro GO dan sooka.
Untuk info, drama premium terbaharu ini menyelami naratif yang mengangkat persahabatan wanita yang bersatu untuk berdepan dengan pengkhianatan.
Topik ini sangat relevan dengan masyarakat Malaysia, kerana ia mengupas emosi dan pengalaman wanita dalam menghadapi penipuan dan kepercayaan dan dugaan.
Must-Watch Video