Penyanyi berbakat besar, Aina Abdul, 28, berkongsi dirinya sesekali didatangi perasaan kurang enak meskipun hakikatnya dia sentiasa bersikap optimis diuji isu pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

“Kadang-kadang Aina lost count hari apa, dan dengan setiap isu dalam berita yang kita baca setiap hari, ia boleh jejaskan kesihatan mental,” luah Aina menerusi entri di Instagram baru-baru ini.

Menyedari bukan petanda baik jika emosi mulai terganggu, pelantun lagu Semalam itu pantas memperbetulkan semula keadaan supaya kembali tenang.

“Cara terbaik saya hadapi serta atasinya dengan jauhkan diri daripada alat komunikasi, kemudian mula buat aktiviti yang boleh beri ketenangan dan keseimbangan fikiran.

“Bila dah bersedia dan yakin sepenuhnya, baru saya balik kepada asal sambil bersemangat teruskan kehidupan macam biasa,” tulis Aina menghurai cara dia mewujudkan semula kekuatan dalam diri.

Hantaran itu bagaimanapun pantas mendapat perhatian penyanyi juga komposer, Lah Ahmad yang sempat meninggalkan pesanan di ruangan komen.

Be strong Aina. Stay safe. And keep in touch,” tulis Lah ringkas.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Aina baru-baru ini muncul dengan kolaborasi duet sulung bersama penyanyi juga pelakon baharu, Daniesh Suffian, 23, menerusi lagu berjudul Warna-Warni.

Dilancarkan di seluruh platform digital pada 19 Jun lalu, ia digarap tiga komposer serta penulis lirik berpengalaman, Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga.

Instagram: @ainaabdul