Hiburan
"Mengelirukan Tanpa Fakta Jelas, Al Jazeera Perlu Minta Maaf" - Datuk Seri Ismail Sabri
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu media antarabangsa Al Jazeera meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas dakwaan perkauman terhadap warga asing ketika COVID-19.
Menerusi sidang media disiarkan secara langsung hari ini, Ismail menganggap laporan bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' tidak wajar dan mengelirukan.
"Laporan tersebut tidak tepat sama sekali dan terpesong daripada keadaan sebenar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor Mansion.
"Setiap individu di dalam kawasan PKPD menjalani ujian swab termasuk warga negara. Semua ini bagi memastikan mereka bebas dari wabak COVID-19 selain mengenal pasti mereka yang bergejala," katanya.
Menurut Ismail Sabri lagi, tindakan media antarabangsa menuduh kerajaan bersifat rasis juga tidak benar.
"Apa yang dilakukan berdasarkan undang-undang.Jabatan Imigresen menahan mereka yang tiada dokumen sah atau langsung tiada dokumen ketika berada di negara ini.
"Saya cabar Al Jazeera tunjuk mana-mana negara yang beri kebebasan mutlak kepada mereka yang tidak ada dokumen," katanya
Tambah Ismail, apabila tempat kerja pekerja asing mempunyai kes positif Covid-19, kesemua mereka di situ akan disaring.
"Sehingga hari ini daripada 68,829 yang disaring, 2,579 didapati positif, kita tidak biarkan mereka meninggal dunia dan sakit di depoh tahanan.
"Kita rawat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), kita bawa mereka dan kita rawat mereka," katanya.
Must-Watch Video