Berita
“Menggelupur Sangat Ni Kenapa? Fikirlah Orang Lain" - Nabila Huda Kecewa Masih Ramai Buat Pembelian Panik
Pelakon Nabila Huda meluahkan rasa kecewanya dengan sikap sebahagian besar rakyat di negara ini yang terus bertindak mementingkan diri sendiri dengan melakukan pembelian panik.
Menurut Nabila, 36, dia benar-benar terkejut apabila banyak barangan keperluan di pasar raya kehabisan stok biarpun selepas sudah hari keempat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Hari ini saya keluar selepas tiga hari duduk dalam rumah untuk beli barang-barang keperluan.
"Sampai pasar raya, penuh dengan manusia, troli-troli pun penuh dengan barang. Korang ni apahal eh? Sick!
"Korang pergi beli barang sampai 50 jenis sayur letak dalam troli nak buat apa? Tak fikir ke pasal orang lain. Orang lain pun nak beli barang juga.
"Fikirlah orang lain, orang lain nak hidup juga, bukan korang je. Korang sikit pun tak tinggalkan orang lain. Menggelupur sangat ni kenapa? Rilekslah!," luah Nabila menerusi Instagram TV miliknya pagi tadi.
Jelasnya lagi, sekiranya situasi tersebut berlarutan, kemungkinan banyak barangan keperluan tidak akan mencukupi.
"Kerajaan beri jaminan barangan keperluan cukup. Tapi kalau macam ni tak cukuplah. Kalau ada 10 manusia, perangai macam ni, habis semua disapu.
"Saya terkelu tengok keadaan tadi. Sekarang ini saya tak tahu nak beli barang kat mana, saya betul-betul kecewa. Buanglah sikap pentingkan diri sendiri," nasihatnya.
Terdahulu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac sehingga 31 Mac ini bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
Sepanjang tempoh tersebut orang ramai diminta untuk terus kekal berada di dalam rumah dan mengelakkan diri daripada berada di tempat awam.
Pada masa sama, hanya sektor perniagaan dan industri yang melibatkan keperluan asas sahaja dibenarkan beroperasi.
Must-Watch Video