Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Menjengah 3 Dekad Dalam Industri, Siti Masih Kekal Penyanyi No. 1 Negara

Umirah Halim
13/03/2024 12:00 MYT
Meskipun sudah beberapa hari berlalu, masih segar dalam ingatan momen-momen yang berlaku pada konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Mac lalu.

Lebih kurang 10,000 peminat telah membanjiri Axiata Arena bagi menonton konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza daripada penyanyi no 1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Bagi anda yang tidak berkesempatan untuk hadir ke konsert magis ini, Gempak kongsikan recap untuk konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza.

Lebih kurang 28 tahun berkecimpung di dalam bidang seni, aura penyanyi yang bersifat membumi ini ternyata masih kekal utuh kerana sorakan hangat dan sahutan lagu demi lagu daripada peminat pada malam konsert tersebut menjadikan bukti bahawa Siti masih memukau peminat dengan persembahannya.



Namun, pada permulaan konsert selepas lagu pembukaan Lebih Indah, Siti mengakui dia ada rasa gementar kerana bimbang tidak ada yang mahu hadir menonton konsert berskala besar itu.

Bagaimanapun melihat sambutan hangat yang diberikan, Siti sempat meluahkan rasa terharu dan tidak menyangka peminat masih setia dan menyokong kerjaya seninya hingga hari ini.

"Masa mula-mula nak anjurkan konsert, saya nervous dan takut sebab saya rasa ada orang nak tengok konsert saya tak? Masih sayang tak lagi mereka pada saya.

"Ini kerana tahun ini ramai yang buat konsert, namun anda semua membuat saya terkejut kerana dalam masa dua jam sahaja tiket habis terjual.

"Saya anggap ini bukan satu perkara yang biasa, namun luar biasa dan paling penting, saya melihat anda bukan sahaja berlumba-lumba untuk berhibur, tetapi menyumbang membuat kebajikan," luah Siti atas pentas sambil disambut sorakan gemuruh oleh penonton.

Selama tiga jam konsert berlangsung, Siti menyampaikan lebih kurang 36 buah lagu termasuk lagu medley, antaranya adalah Lebih Indah, Aku Bidadari Syurgamu, Basyirah, Kurniaan Dalam Samaran, Biarlah Rahsia, Ganti, Nirmala, Kurik Kundi, dan Menyapa Dunia sebagai tanda terima kasih buat peminat yang menjadi tulang belakang beliau selama berada dalam industri seni suara.

Difahamkan, sebahagian kutipan jualan tiket konsert anjuran Yayasan Nurjiwa iaitu pertubuhan amal diasaskan Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, itu akan disalurkan ke Sekolah Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin.

"Bukan saja-saja tiket ini anda berluma-lumba untuk dapatkan tapi kerana anda berlumba lumba untuk buat kebajikan.

"Kerana sebenarnya tiket malam ini yang anda beli anda turut menyumbang kepada Yayasan Jiwa yang saya bina bersam suami saya Datuk Khalid Mohd Jiwa, dimana kami akan teruskan sumbangan kebajikan dan membantu anak-anak dan juga keluarga di Gaza," tambah Siti.

Pada malam itu, peminat turut dihiburkan dengan kejutan, penyanyi terkenal daripada Indonesia, Judika sebagai penyanyi undangan.

Pasangan itu mendendangkan tiga lagu duet iaitu Dirgahayu, Seluruh Cinta dan Kisah Ku Inginkan sebelum Judika tampil solo menyanyikan lagu Mama Papa Larang.

Dalam pada itu, Siti sempat juga mengusik rider pengantar makanan yang tular kerana menggunakan 'filter' wajahnya yang kebetulan turut hadir menyaksikan konsert.

Antara selebriti yang hadir menyaksikan konsert adalah Hael Husaini, Ernie Zakri dan Aisha Retno.

Berdasarkan rekod, konsert berkenaan habis terjual dalam masa dua jam sahaja selepas ia dibuka untuk jualan pada 21 Disember 2023.

Ia merupakan konsert keempat Siti Nurhaliza yang habis terjual dan diadakan di Axiata Arena.

Sekadar info, kali terakhir Siti membaut konsert adalah pada empat tahun lalu iaitu konsert jelajah, Siti Nurhaliza On Tour 2019.

Berita Trending: Habis Terjual Dalam Masa Dua Jam, Siti Nurhaliza Mohon Maaf Tiada Penambahan Tiket Konsert

Berita Trending: Chaan Dedah Sifat Rendah Diri Siti Nurhaliza - “Dia Punya Humble Tu… Terlalu Humble”

#Konsert #Nurhaliza #Siti #SAYA #Epitome #Sebuah
;