Lakonan aktres Datin Paduka Eina Azman kali ini agak berbeza apabila watak Cik Mek dalam filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali.

Bercerita mengenai karakternya, Eina berkata watak Cik Mek memerlukan dirinya menjadi seorang yang tangkas kerana adegan bersilat.

“Sebenarnya saya baru lepas habis penggambaran satu drama dan kalau ikutkan pada waktu itu saya tidak shoot apa-apa kerana ingin berehat.

“Kemudian saya dapat panggilan mengatakan abang Mamat nak buat Kampong Pisang Berbuah Dua Kali tapi waktu itu saya ada satu lagi tawaran bekerja.

“Kawan saya cakap buatlah sesuatu yang lain sebab dalam ini saya kena menyanyi, bersilat ada babak berlawan-lawan, sesuatu yang lain.

“Dan abang Mamat nak sangat saya dalam ini bawa watak Cik Mek. Lepas berbincang dan tarikh semua bersesuaian, saya pun terima tawaran ini,” jelasnya dalam sidang media baru-baru ini.

Berkongsi pengalamannya, Eina menceritakan sebelum ini pernah bekerja dengan Allahyarham Mamat untuk filem Zombi Kilang Biskut pada tahun 2014.

“Sebelum ini saya pernah berkerja dengan Mamat ketika itu saya berumur 17 tahun dalam Zombi Kilang Biskut, jadi bila dapat tahu nak bekerja kembali sudah pasti rasa sangat teruja.

“Nak jumpa balik geng-geng lama sebab saya tahu kalau Mamat Khalid selalunya team tidak akan berubah dan kebanyakannya wajah-wajah yang sama. Jadi kita fikir macam reunion balik lah,” kongsinya.

Bagaimanapun Eina menyatakan rasa sayu sebaik sahaja menerima perkhabaran pemergian Allahyarham Mamat Khalid.

“Masa minggu nak masuk set penggambaran itu tiba-tiba saya dapat perkhabaran abang dah pergi… Ya Allah waktu itu sedih sangat sebab tak sangka… Rasa nak sangat bekerja dengan abang tapi tidak kesampaian.

“Tapi saya pun ada bercakap dengan Amen dan Aunty Intan… Saya kata… InsyaAllah saya akan cuba sehabis baik buat bersama Amen dan juga team produksi,” ujarnya.

BACA: Ini Dia Heroin-Heroin Kampong Pisang, Cantik Tertarik Menarik Memang The Bomb!

BACA: Karya Terakhir Allahyarham Mamat Khalid, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali Disempurnakan Amen Khaled

BACA: “Tengah Duduk Pun Macam Dengar Suara Dia” - Air Mata Amen Khalid Tumpah Jua, Sidang Media Paling Sebak

Bagi yang belum menonton, saksikan komedi seram, Kampung Pisang Berbuah Dua Kali yang berada di Pawagam Rumah Anda, di Astro First.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak.

Terdahulu, Amen Khalid pernah mengarahkan telefilem Sis Ngensot dan Pochong yang ditayangkan di saluran BOO (404).