Laman Utama
Menyelar Ada Yang Tulis 'Fake News', Raja Ilya Tidak Akan Bercerita Aktiviti Uji Bakat: "Tak Tanya Terus Tulis Je"
Nama Raja Ilya pernah mencetus kontroversi selepas dia didakwa menipu oleh netizen apabila menolak tawaran untuk berlakon filem produksi Hollywood pada tahun 2018.
Susulan isu itu, Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad nekad untuk tidak akan lagi berkongsi perkara yang belum berlaku kepada umum.
"Saya belajar daripada pengalaman lalu untuk diam dan tidak akan bercerita apa jua aktiviti uji bakat yang saya lakukan di sini,” katanya.
Dia turut mendakwa ada dalam kalangan media melaporkan fake news dan tidak bertanya kesahihan sebelum menulis.
Justeru itu dia mengambil pendekatan tidak berkongsi maklumat awal mengenai sebarang aktiviti lakonannya sehingga sebelum menandatangani perjanjian.
"Sampai satu ketika nanti, mungkin semasa atau selepas penggambaran selesai, baru akan kongsi kepada peminat," katanya.
Terdahulu, Ilya pernah memberitahu dia menerima tawaran berlakon di Hollywood namun kemudian menyepi.
Selepas dua tahun, pelakon berumur 36 tahun ini tampil bersuara dengan memberi penjelasan sebenar serta bukti.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram (IG), Ilya mendedahkan dia terpaksa menolak untuk siri Netflix kerana tuntutan watak itu adalah untuk dia berbogel.
"Watak tersebut memerlukan saya berbogel dan duduk di dalam inkubator. Tawaran yang saya terima itu bayarannya bagus dan diterbitkan syarikat produksi yang besar.
"Tetapi saya ada pendirian sendiri untuk tidak melakukannya. Ada orang selalu beranggapan babak sebegitu sebagai satu seni.
"Tetapi saya tidak selesa untuk berbogel atau melakukan babak seksual. Sebab itu saya tolak," kata Ilya.
Tambahnya, dia juga pernah menghantar dua buah video uji bakat untuk filem Star Wars: The Rise of Skywalker dan Jurassic World namun rezeki tidak berpihak kepadanya.
"Untuk uji bakat itu, nama saya disenarai pendek, namun tidak ada maklum balas. Saya anggap tidak ada rezeki pada waktu itu kerana saya tahu ada beberapa pelakon lain dari India yang turut disenarai pendek," katanya lagi.