Pesohor industri seni yang telah mengharumkan nama Malaysia ke persada dunia menerusi pengiktirafan bakatnya dalam anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh melahirkan rasa teruja dan terharu menerima sambutan luar biasa terutama daripada peminat dan rakan media di Malaysia.

Luahan itu dibuat sewaktu sesi sidang akhbar sempena acara Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet yang berlangsung di Hotel Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur tengahari tadi.

Menariknya, soalan pertama yang dijawab Yeoh adalah mengenai ‘pemburuan’ terhadap makanan Malaysia atau tempatan.

“Saya sangat gembira dapat pulang semula ke Malaysia dan bertemu dengan kalian semua. Saya dah menjamah nasi lemak, laksa kari, horfun dan nasi ayam Ipoh dengan nga Choi

“Itulah sebabnya saya nampak berisi sikit,” katanya berseloroh.

Yeoh hadir serba ringkas dengan memakai kemeja putih oversized dipadankan dengan seluar jeans biru dan sepatu hitam untuk sesi bersama lebih 50 rakan media dari Malaysia.

Kata beliau lagi, semangatnya lebih membara untuk membawa bersama trofi kemenangannya pulang ke tanah air sejurus mendengar ‘ngauman’ peminatnya dari Malaysia ketika Oscars berlangsung bulan lepas.

“Ketakutan saya ketika pengumuman Oscars itu apabila saya tahu ibu saya ada bersama kawan-kawan di Malaysia menantikan berita gembira.

“Rupa-rupanya ada hampir 400 orang sedang menunggu berita itu, dalam kepala saya ‘apa akan jadi dalam dewan itu kalau saya tak menang?’

“Saya sangat teruja, gembira dan saya dengar betapa membaranya ngauman peminat saya di sini. Dan di sinilah saya hari ini bersama kalian semua,” katanya sebak.

Terdahulu menerusi pencalonannya di Oscar, Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie: Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Yeoh juga telah meraih kemenangan dalam kategori sama iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29, menerusi watak ikoniknya, Evelyn Quah Wang.