Seorang vokalis kumpulan rock era 90-an yang didapati memiliki dan positif dadah ditahan polis di sebuah kabin bersebelahan tempat cuci kenderaan di Taman Tenaga, Cheras.

Menurut laporan Sinar Harian, tangkapan dibuat sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kira-kira jam 9.30 malam hasil maklumat orang ramai.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pemeriksaan menemui sepeket plastik yang mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 0.6 gram yang dianggarkan bernilai RM100.

"Ujian saringan air kencing terhadap penyanyi berusia 43 tahun itu mendapati dia positif methamphetamine, amphetamin dan ganja," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati tiada rekod lampau membabitkan penyanyi berkenaan.

Katanya, penyanyi lelaki itu kini direman empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sumber: Sinar Harian