Isu membabitkan anggota kumpulan K-Clique iaitu MK, 25, dengan bekas pembantu peribadinya (PA), Kojek masih belum menemui titik noktah.

BACA: Kemelut MK, Bekas PA Belum Selesai.. Rupa-Rupanya Jumlah Hutang Cecah RM160,000 - "Manusia Jenis Apa Kau Ni?"

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata dia sudah membuat laporan polis namun masih berharap untuk menyelesaikan dengan cara baik.

Katanya, dia tidak marah namun berasa kesal kerana isu ini boleh menjejaskan reputasi MK, K-Clique dan individu di sekeliling bekas pembantu peribadinya.

"Saya sudah membuat laporan polis mengenai isu tersebut. Sejujurnya, saya tidak marah tetapi saya kecewa dengan apa yang berlaku.

"Saya berharap agar pihak sana memberikan kerjasama dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini.

"Saya nak selesaikan dengan cara baik. Untuk MK mengambil tindakan terburu-buru akan memberi kesan dan menjejaskan individu ini kerana dia sudah berkeluarga.

"Perbuatan ini dia sendiri buat jadi saya tak nak orang lain tanggung juga. Buat masa ini, kita tunggu dahulu respon daripadanya.

"Jika dia tidak mahu bertanggungjawab dengan apa yang telah dilakukan, mungkin saya akan teruskan dengan tindakan undang-undang seterusnya," katanya kepada Gempak.

Tambah anak kelahiran Sabah itu, dia sudah memafkan bekas pembantu peribadinya dan reda dengan dugaan berlaku.

Bagaimanapun, untuk bekerjasama semula akan mengambil masa kerana rasa kepercayaan sudah hilang.

"Sebelum isu ini selesai pun MK dah maafkan dia. Hubungan saya dengannya masih baik. Saya reda dengan apa yang terjadi.

"Jadi untuk MK, tidak pernah berdendam. MK belajar dari kesilapan tapi untuk bekerjasama selepas ini mungkin ambil masa untuk percaya dia semula," katanya lagi.

MK ditemui pada majis pengumuman kerjasama antara K-Clique dan Todak yang berlangsung di Shah Alam, semalam.

Turut hadir bersama adalah pengasas Todak iaitu Khairul Azlan dan Ketua Pegawai Eksekutif Todak Music, Ikmal Fareeq.

Menurut Azlan, impak yang diberikan K-Clique terhadap industri muzik tempatan merupakan satu fenomena dan berharap kerjasama yang terjalin di antara mereka akan menjadi kebanggaan bersama kelak.

"Melalui pemerhatian yang rapi, kami lihat K-Clique dan Todak memiliki sinergi yang kuat dan ia membuatkan usaha dan kerjasama ini sangat sepadan.

"Besar harapan kami agar kerjasama dan persefahaman yang dimiliki pada hari ini dapat menjadi batu loncatan bagi kedua-dua jenama untuk terus maju ke hadapan," katanya.

Selain mempromosikan produk Todak, K-Clique juga akan bekerjasama dengan Todak Music dalam menerbitkan lagu terbaru termasuklah penghasilan muzik video.

Jenama Todak menaungi beberapa anak syarikat yang memberi fokus yang berlainan seperti Todak Culture (Produk), Todak Studios (Pembangunan Permainan), Todak Fusion (Hiburan dan Pengurusan Acara) dan Todak Academy (Pembelajaran Kontemporari).