Usaha kumpulan Tiro dianggotai Danial Zaini, Sharif dan Syaiful tidak sia-sia apabila ratu dangdut legenda Malaysia, Mas Idayu sudi menerima pelawaan mereka untuk beraksi di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021.

Tiro berkata, selepas mendapat tahu minggu keempat MLM 2021 bertemakan seram bersama penyanyi yang tidak pernah menyertai mana-mana program seumpama itu di kaca televisyen, Mas Idayu merupakan nama yang terlintas.

“Kami memang gamble tanya Mummy (Mas Idayu) untuk dia sertai kami malam ni (Jumaat). Risau sangat kalau Mummy tak sejutu.

“Pujuk punya pujuk, akhirnya Mummy setuju nak bersama kami, masa tu perasaan tuhan sahaja yang tahu,” kata Sharif.

Menurut Sharif bekerja dengan Mas Idayu sangat mudah dan penyanyi legenda itu peramah dan sangat merendah diri.

“Walaupun beliau seorang yang sudah bertaraf legenda dalam industri nyanyian tetapi sangat merendah diri dan sangat mudah bekerja.

“Beliau peramah dan profesional bila bekerja.Beliau tahu apa nak buat selepas kita bentangkan jalan cerita dan sebagainya,” kata Sharif lagi.

Sementara itu, Mas Idayu mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Tiro kerana masih bertahan di MLM 2021.

Kata Mas Idayu, Kumpulan Tiro berjaya memujuknya untuk menyertai mereka, bagaimanapun persembahan tersebut merupakan yang pertama dan terakhir serta tiada lagi selepas ini.

“Tahniah, masih bertahan di Maharaja Lawak Mega. Akhirnya mereka berjaya pujuk Mummy untuk join dorang.

“Apa pun, ini adalah yang pertama dan terakhir, okay…No More,” katanya.

Kumpulan Tiro dalam persembahan pada minggu keempat memikat hati juri dan sekali lagi menerima Anugerah Lawak Pedas Tak Ingat ADABI berjumlah RM1,000.

Tiro juga menduduki tempat pertama dengan markah sebanyak 70.47% daripada juri dan undian secara atas talian.