Rezeki tidak pernah putus! Itu yang terjadi kepada Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’ apabila terus menerima hadiah serta kejutan daripada orang ramai.

Jika sebelum ini Azwan menerima sebuah motosikal Yamaha XJ6S, terbaru dia dihadiahkan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Difahamkan, hadiah tersebut diberi oleh seorang usahawan kosmetik, Wan Siti Aisyah Wan Hasan yang juga dikenali oleh netizen sebagai Sha Hasan.

Perkara itu didedahkan sendiri menerusi satu posting di Instagram Sha, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, selesai juga akhirnya. Jangan risau awak semua, saya ada ni tak lari mana pun.

“Bila dah janji insyaAllah saya akan tepati.

“Kalau ikutkan 2-3 bulan kena que tapi rezeki abang Viva berjaya jugak keluarkan dalam masa terdekat. Haza rahmatun min rabbi,” katanya.

Sementara itu, menerusi satu posting di akaun TikTok, Azwan kelihatan sungguh terharu dengan kejutan berkenaan.

Malah, kedua ibu bapa Azwan juga dilihat turut mengalirkan air mata, memanjatkan kesyukuran dengan pemberian kenderaan pacuan empat roda tersebut.

Menerusi ruang komen pula, kebanyakan netizen gembira dengan inisiatif tersebut dan menyifatkan kenderaan lasak itu memudahkan lagi Azwan meneruskan usaha membantu mangsa banjir, kelak.

“Ikhlas nak tolong orang bermodal RM50 Allah bagi berlipat ganda rezeki yang tak pernah kita bayangkan tahniah abang Viva”.

“Bertakung air mata tengok reaksi bapanya, anak pakcik baik sangat 1 Malaysia sayang dia”.

“Ya Allah sebaknya, tengok mak ayah abang Viva pun sebak,” tulis beberapa netizen.

Terdahulu, Azwan menjadi tular di seluruh negara selepas hanya menggunakan kereta jenis Viva dan sebuah bot yang diikat di atas keretanya dari Melaka ke Shah Alam, Selangor berbekal RM50 untuk menyelamatkan mangsa banjir, bulan lalu.

BACA: #G The Untold Story: Setulus Hati Azwan Omar, Viva Pinjam & Enjin Bot Kawan: “Di Mana Ada Banjir, Di Situ Ada Saya”