Usai berkongsi perkembangan terkini bakal menunaikan ibadah haji di Makkah pada Ahad, pelakon Nelydia Senrose terus dihujani doa dan ucapan dari rakan selebriti serta peminat.

Ramai antaranya mendoakan kesejahteraan dan dipermudahkan urusan serta perjalanan pergi dan balik Nelydia.

Malah, ada juga yang memanjatkan doa agar Nelydia istiqamah bertudung dan menutup aurat.

"Semoga mendapat haji yang mabrur dan Nelydia istiqamah bertudung dan menutup aurat dengan sempurna," doa seorang pengguna.

Tambah penguna lain pula agar Nelydia dibukakan hati untuk berhijab sepenuhnya selepas pulang dari Makkah.

"Semoga Allah bukakan hati untuk berhijab sepenuhnya bukan macam sekarang ni.

"Betul, umrah tak apa lagi. Nanti balik dapat title hajah macam Neelofa," sahut pengguna lain.

Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 28, menganggap keberangkatannya ke Tanah Suci itu seperti anugerah yang paling agung daripada Tuhan.

Aktres filem Jebat itu turut memohon maaf kepada sesiapa yang mengenali dirinya dan meminta agar urusan haji bersama suami dipermudah.

Menerusi laman sosial Instagram, Nelydia berkongsi foto terkininya bersama suami yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi urusan keberangkatan.

Nelydia kelihatan tenang dan jelita mengenakan jubah dan tudung labuh serba hitam.

A post shared by @nelydiasenrose


Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima lebih 100,000 tanda suka daripada warga Instagram.

Terdahulu, Nelydia dan suami telah berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah umrah bersama pasangan Kamal Adli dan Uqasha Senrose sekitar Disember 2021.