Pelakon Bront Palarae bertindak menegur Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di laman sosial Twitter selepas kontroversi melibatkan persatuan tersebut dan seorang artis wanita hangat diperkatakan warganet.

Menerusi kicauannya Bront memohon agar masalah dalaman industri seharusnya ditangani secara dalaman.

Dia turut meminta agar tidak ‘menyemakkan’ lagi kepala Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan hal remeh temeh.

Pandangan Bront itu kemudiannya disokong aktres Sharifah Amani.

Seniman telah membuat tiga laporan polis semalam (Selasa), terhadap seorang artis wanita yang memuat naik video di media sosial hingga menimbulkan perbalahan di antara netizen dan artis tempatan.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, laporan itu dibuat oleh tiga biro Seniman di tiga balai polis secara berasingan.

“Mereka yang membuat laporan polis adalah Pengerusi Biro Penguatkuasa Seniman, Badrul Muhayat; Pengerusi Biro Artis Baru, Izzmad Harun dan Penolong Setiausaha Agung Seniman, Rena Tan," katanya kepada Harian Metro.