Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Mudahkan Proses Rehabilitasi, Maids5 Raih Tempat Pertama Pada Minggu Ketiga INNOVATHON

Izwan Isa
30/07/2023 02:50 MYT

Produk Maids5 diumumkan sebagai pemenang pada minggu ketiga program INNOVATHON yang disiarkan Sabtu lalu.

Menerusi pembentangan, Maids5 dipersembahkan sebagai satu produk yang mewakili lima fungsi alat rehabilitasi iaitu duduk, berdiri dan berjalan dengan sokongan stroller serta motor halus bagi mempermudahkan aktiviti harian. Alat ini dicipta supaya pesakit boleh melakukan pergerakan sendiri di rumah tanpa perlu ke hospital.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


Buat masa ini, Maids5 hanya terdapat di Hospital Universiti Sains Malaysia Kelantan dan sudah pun berusia 8 tahun. Alat ini juga telah berjaya memenangi pingat emas dalam pertandingan inovasi dalam dan luar negara.

Individu di sebalik Maids5 ialah Kumpulan Rehab Charger Unit Perubatan Pemulihan, Universiti Sains Malaysia Kelantan. Mereka terdiri daripada Pakar Perubatan Rehabilitasi USM Kelantan, Prof Madya Dr Muhd Hafiz Hanafi; Pegawai Pemulihan Perubatan Hospital USM, Hasnetty Zuria Mohamed Hatta dan Purupulih Perubatan Anggota Hospital USM, Sarina Mat Derus. Projek ini juga turut dibantu oleh 10 ahli Kumpulan Rehad Charger.

INNOVATHON merupakan sebuah rancangan realiti TV inovasi pertama di Malaysia, inisiatif bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Astro.

Setiap minggu, lapan inovator akan berentap dari minggu pertama hingga minggu ketujuh. Justeru, setiap inovator terbaik mingguan akan terus melayakkan diri ke pentas akhir bagi merebut gelaran juara INNOVATHON yang pertama.

Idea inovatif dan kreatif para inovator diadili oleh lima orang panel juri profesional termasuklah Menteri Ekonomi; YB Rafizi Ramli, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Chang Lih Kang, selebriti dan usahawan terkenal; Fazura, serta dua lagi pemain industri sebagai juri profesional jemputan. Selain itu, 100 orang juri awam daripada pelbagai latar belakang yang berperanan sebagai pengguna akan menggalas tanggungjawab sebagai juri awam.

Pentas akhir INNOVATHON bakal menyaksikan para finalis sekali lagi membentangkan produk inovasi mereka dengan penambahbaikan yang lebih menarik bagi merebut hadiah wang tunai RM100,000 dan hadiah pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM1 juta ringgit.

Program realiti TV yang dihoskan oleh pengacara ternama Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani ini bersiaran mulai 15 Julai 2023, jam 9 malam di saluran Astro RIA dan Astro GO.

BACA: M-Braille Typewriter Curi Perhatian Juri, Juara Minggu Kedua Dalam INNOVATHON

BACA: The Other Self Ungguli Minggu Pertama INNOVATHON

#Innovathon #Maids5