Laman Utama
M-Braille Typewriter Curi Perhatian Juri, Juara Minggu Kedua Dalam INNOVATHON
Produk M-Braille Typewriter diumumkan sebagai pemenang pada minggu kedua program INNOVATHON yang disiarkan Ahad lalu.
Menerusi pembentangan, M-Braille Typewriter mempersembahkan mesin taip elektronik khusus untuk golongan OKU penglihatan. Mesin taip Braille tersebut mempunyai saiz kecil, ringan dan mesra pengguna. Selain itu, ia memudahkan segenap lapisan OKU penglihatan, termasuklah golongan pelajar hingga profesional untuk menaip, mencetak dan dijadikan sebagai alat pembelajaran dan pengajaran guru Pendidikan Khas.
Individu di sebalik M-Braille Typewriter ialah Muhammad Hafidzuddin, seorang pelajar Master yang pernah bekerja sebagai researcher al-Quran Braille.
INNOVATHON merupakan sebuah rancangan realiti TV inovasi pertama di Malaysia, inisiatif bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Astro.
Setiap minggu, lapan inovator akan berentap dari minggu pertama hingga minggu ketujuh. Justeru, setiap inovator terbaik mingguan akan terus melayakkan diri ke pentas akhir bagi merebut gelaran juara INNOVATHON yang pertama.
Idea inovatif dan kreatif para inovator diadili oleh lima orang panel juri profesional termasuklah Menteri Ekonomi; YB Rafizi Ramli, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Chang Lih Kang, selebriti dan usahawan terkenal; Fazura, serta dua lagi pemain industri sebagai juri profesional jemputan. Selain itu, 100 orang juri awam daripada pelbagai latar belakang yang berperanan sebagai pengguna akan menggalas tanggungjawab sebagai juri awam.
Pentas akhir INNOVATHON bakal menyaksikan para finalis sekali lagi membentangkan produk inovasi mereka dengan penambahbaikan yang lebih menarik bagi merebut hadiah wang tunai RM100,000 dan hadiah pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM1 juta.
Program realiti TV yang dihoskan oleh pengacara ternama Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani ini bersiaran mulai 15 Julai 2023, jam 9 malam di saluran Astro RIA dan Astro GO.
Must-Watch Video