Bagi Razeeq Danial Roslie, 12, minatnya dalam sukan badminton bukanlah datang secara semula jadi.

Kata Razeeq, bapanya merupakan individu yang memperkenalkannya dengan sukan itu.

"Saya bermula dari usia tujuh tahun. Bapa saya membawa saya ke gelanggang badminton ketika itu. Bapa saya terlibat dalam sukan hoki dan pernah mewakili negeri Sabah dahulu.

"Bermula dengan ajakan bapa, pada mulanya saya tak berminat dengan sukan badminton. Awalnya, saya rasakan sukar untuk 'masuk' dengan permainan ini.

"Ia mula berubah ketika saya berusia sembilan tahun. Minat itu datang dan saya mula memberikan fokus terhadap badminton.

"Kini, saya mewakili negeri dalam pertandingan badminton. Adik saya juga aktif dalam sukan badminton," kata pelajar SJK (C) Sungai Chua, Kajang itu.



Terlibat dalam program latihan intensif selama seminggu anjuran Astro Kem Badminton pada penghujung Ogos sehingga September lalu, Razeeq menyifatkan ia sebagai peluang baru kerana latihan terbabit turut disertai oleh pelajar Jepun.



Razeeq merupakan antara 30 peserta terpilih dari 60 penyertaan di program latihan intensif ini untuk menyertai latihan luar negara di Jepun pada penghujung tahun ini.

"Sangat gembira dapat berlatih dengan pelajar-pelajar Jepun. Saya banyak belajar, terutamanya disiplin biarpun sukar untuk berkomunikasi dengan mereka.

"Saya mahu mengembangkan bakat saya dalam sukan ini dan pastinya saya akan banyak belajar dengan mereka. Lagipun, saya belum pernah ke Jepun dan itu membuatkan saya sangat teruja," katanya lagi.



Semenjak tahun 2017, Astro Kem Badminton menjalin kolaborasi antara Astro Kasih dan Kementerian Pendidikan Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Nippon Badminton Association di Jepun.

Di bawah seliaan jurulatih kebangsaan Jepun, Park Joo-Bong, peserta yang terpilih akan menyertai latihan selama dua minggu di Jepun pada penghujung tahun ini bersama Japan National Junior Team.