Hiburan
Muncul Dengan Single Pertama, Kay Khydir Mahu Viralkan Lagu
Pelakon dan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 9, Kay Khydir mahu menularkan single pertamanya, Bukan Bahagiaku sebagai salah satu cara untuk mempromosikan lagunya.
Menurut Kay atau nama sebenarnya, Nur Khaidir Muhid, dia mengakui strategi viral memang diperlukan untuk memasarkan lagu di zaman sekarang.
"Sebagai strategi, saya tidak menolak cara viral atau gimik untuk memasarkan lagu. Saya tahu, di zaman kini, cara tersebut sangat berkesan kerana apabila sesuatu produk ditularkan, ia akan mendapat perhatian ramai pihak.
"Tetapi, biarlah ia viral dengan cara yang baik. Saya dan pihak pengurusan akan mencari jalan untuk melaksanakan perkara terbabit sebagai usaha untuk mempromosikan lagu," kata Kay.
Kay ditemui di majlis pelancaran lagu Bukan Bahagiaku di Rex Box, The Gardens sebentar tadi.
Tambah Kay, dia menaruh kepercayaan kepada single ini kerana lagu serta pihak pengurusan yang baik.
"Sebenarnya, single pertama saya berjudul Bukan Bahagiaku ciptaan Azlan Abu Hassan dan Abie Abdullah ini sudah empat tahun saya rakamkan. Tetapi, saya menyimpan lagu ini kerana terlalu sibuk dengan bidang lakonan.
"Ketika itu, saya sibuk dengan drama bersiri 100 episod seperti Memori Cinta Suraya, Dendam Aurora dan banyak lagi. Alhamdulillah, selepas saya berada di bawah naungan SZ Entertainment milik penyanyi Shiha Zikir bersama LMA Talent House sebagai pengedar, Bukan Bahagiaku muncul.
"Saya begitu mempercayai lagu ini dan dengan bantuan pihak pengurusan, saya berharap Bukan Bahagiaku mendapat sambutan ramai," katanya lagi.
Must-Watch Video