Bintang All Stars Gegar Vaganza (GV10), Azharina Azhar mendedahkan pernah berdepan dengan gangguan mistik.

Kejadian itu berlaku sehari sebelum berlangsungnya konsert akhir Gegar Vaganza 3 iaitu pada tahun 2016.

Menurut Azharina, dia mengalami muntah darah selain segumpal rambut tiba-tiba keluar dari mulutnya.

“Ini saya belum pernah kongsikan di mana-mana jadi saya kongsikan secara jujur.

“Sebenarnya waktu konsert akhir GV3 keesokan harinya, pada malam itu selepas pulang daripada sesi latihan penuh, saya muntah darah.

“Satu gumpal rambut keluar melalui mulut, ketika itu saya di hotel. Doktor dan juga pekerja saya sebagai saksi.

“Mereka menyaksikan adegan Ju-On yang saya sendiri tidak percaya wujud di dunia. Kemudian pada jam 3 pagi doktor datang sampai berikan drip sebab saya batuk keluar darah dan juga rambut.

“Saya ingat Ju-On hanya ada dalam filem rupa-rupanya di dunia nyata juga wujud. Saya tak pernah nampak cuma saya mengalaminya, rambut keluar daripada mulut.

“Bila tanya puncanya, doktor pun tak boleh nak jawab, ketika itu doktor juga bersama isteri dan juga jururawat,” jelasnya ketika ditemui Gempak.

Azharina ditemui selepas diumumkan sebagai salah seorang bintang All Stars Gegar Vaganza yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, Azharina juga mengakui ada rasa sedikit takut dengan kejadian itu namun memilih untuk terus kuat mencari rezeki demi keluarga.

“Saya takut tapi saya percaya dengan bakat saya, mahu cari rezeki halal membesarkan anak-anak saya.

“Saya ibu tunggal, sudah menjanda 17 tahun dan saya sendiri cari duit jaga keluarga dan anak-anak. Saya harus kuat untuk semua yang berada di sekeliling saya,” katanya.

Selain Azharina (GV3), All Stars Gegar Vaganza menampilkan Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu serta Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).

All Stars Gegar Vaganza akan berlangsung selama 12 minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 24 September, setiap Ahad, jam 9.00 malam.

Program ini juga ditayangkan secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).


Untuk pilihan yang lebih fleksibel, program ini juga boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.