BERITA
Pelajar Kolej Mati Dibunuh, Mayat Digantung Pada Kipas
Seorang pelajar kolej yang ditemui tergantung pada kipas di ruang tamu kediamannya di USJ 2/1 di sini pada Khamis lalu disahkan mati dibunuh.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah pendarahan di sekeliling tulang leher (hyoid bone).
“Pakar patologi juga mendapati kecederaan yang terjadi pada otot dan tulang mangsa adalah akibat ‘manual strangulation’ (cekik).
“Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Wan Azlan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat dan motif kejadian.
Sebelum itu, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan pada jam 11.55 pagi memaklumkan seorang wanita berusia lingkungan 20-an ditemui tergantung pada kipas di rumahnya.
Menurut Wan Azlan, pemanggil adalah bapa mangsa yang menghubungi pihak polis selepas menemui anaknya dalam keadaan tergantung pada kipas di ruang tamu di tingkat dua rumah terbabit.
“Pembantu perubatan yang ke lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu di media sosial.
“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil memberi kerjasama melalui talian 03-278627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Zainol Aazizi Abu Bakar di talian 013-3227632,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video