Selebriti terkenal Nabil Ahmad meluahkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir netizen yang mempermainkan tanda ‘Allah yang satu’.

Menurut Nabil, netizen tidak sepatutnya melibatkan agama dengan perbuatan buruk atau permasalahan yang dilakukan oleh individu.

“Bagi saya, tanda itu (Allah yang satu) tak patut dimainkan. Jangan libatkan agama dengan perbuatan orang itu. Yang bermasalah adalah individu itu sendiri.

“Jangan fasal dia atau apa yang dia dah buat, contohnya dia pergi keluar tabligh, dia angkat tanda (la ilaha illallah muhammadur rasulullah) terus anggap ini adalah tanda-tanda lelaki akan curang dan pukul isteri.

“Oh no! Salah. Orang yang perlekehkan tanda itu, pada saya dia patut minta nasihat ustaz ke. Kita faham perasaan kau marah dengan perbuatan orang itu tapi tak ada kena mengena dengan tanda itu,” katanya kepada Gempak.

Nabil ditemui ketika sidang media program terbaharu Astro iaitu Family Feud Malaysia di Studio 1, Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.

Nabil turut memberitahu tanda tersebut juga sama seperti dilakukan ketika tahiyat awal dan akhir setiap kali menunaikan solat dan tidak patut diperlekehkan.

“Memperlekehkan tanda itu, bagi saya, tidak patut. Tanda itu juga sama seperti kita buat masa tahiyat awal dan akhir kan. Takut akidah lari sebab perlekahkan benda-benda macam ini.

“Kalau tak tahu, jangan nak tuduh, jangan nak perlekeh… dapatkan nasihat daripada orang yang tahu. Yang jadi masalah individu itu, bukan agama.

“Agama ajar yang baik, betul, terang, jelas dan nyata hakikatnya semua ada dalam Al-Quran dan Nabi ajar kita benda-benda yang macam itu,” ujarnya.