Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos menafikan dirinya melarikan diri dan mendakwa dia keluar daripada Hospital Ampang kerana menyangka proses jaminan telah selesai.

Dalam satu rakaman suara yang dihantar kepada media, Jamal mendakwa, dia bergegas keluar daripada hospital itu kerana mengejar masa untuk mengeluarkan wang dari Tabung Haji bagi membiayai kos reman serta guaman.

"Pada pukul 3.15 petang, Jumaat lalu, saya telah selesai kes tersebut dan telah pun keluar daripada hospital kerana mendapati reman saya telah habis, jaminan saya terhadap tuduhan tersebut telah dijamin oleh penjamin saya.

"Setelah berjaya mengeluarkan wang, saya menerima panggilan mengatakan bahawa sedang diburu pihak polis kerana didakwa melarikan diri dari hospital berkenaan.

"Bagaimanapun, memandangkan keadaan saya kurang sihat, saya berpendapat lebih baik saya berehat dulu," katanya.

Jamal memberitahu beliau akan hadir ke balai polis seperti diarahkan dan memberikan kerjasama sepenuhnya berhubung kes mahkamah.

"Bagi saya, perkara ini adalah salah faham kerana pada anggapan saya mungkin proses itu telah pun selesai dan sempurna sebaliknya ada beberapa dokumen selepas jaminan yang saya baca tidak ditandatangani.

"Saya akan menyelesaikan proses jaminan ini," katanya.

Sementara itu, ketua kumpulan peguam yang mewakili Jamal, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, beliau telah dihubungi anak guamnya yang memaklumkan sedia memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak polis untuk menyempurnakan proses ikat jamin tempoh hari.

"Beliau (Jamal) memaklumkan masih belum sihat sepenuhnya dan dalam proses penyembuhan. Beliau akan hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses ikat jamin dan memberikan kerjasama kepada pihak polis setelah sihat," katanya.

Mohd. Imran menjelaskan pihaknya percaya berlaku sedikit salah faham sehingga perkara dan situasi anak guamnya itu telah dieksploitasi dengan tanggapan negatif termasuk dakwaan melarikan diri.

"Kami (kumpulan peguam) telah memaklumkan kepada polis berkenaan perkembangan ini dan telah mengambil maklum perkara ini," ujarnya.

Sumber: Kosmo!