Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

"Naik Darah Saya!" - Filem Dijual Dengan Harga RM1 Di Platform E-Dagang, Penerbit 'Ada Apa Dengan Dosa' Rasa Terhina!

Kamaruddin Razal
04/08/2020 00:55 MYT
Penerbit Pencil Pictures & Records, Datuk Ayu Puteh berang selepas mengetahui filem terbitannya, Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dijual secara cetak rompak di platform e-dagang popular.

Menurut Ayu atau nama sebenarnya, Normashayu Puteh, 43, perkara terbabit tidak seharusnya berlaku.

"Bayangkan, saya mengeluarkan modal berjuta, melakukan penggambaran sehingga ke luar negara, berhabis banyak benda untuk merealisasikan AADD, tiba-tiba segala usaha dan penat lelah saya seakan tidak bernilai selepas filem itu dijual semurah RM1 di platform terbabit!

"Naik darah saya! Sejujurnya, saya rasa terhina dan kecewa dengan situasi cetak rompak ini. Bayangkan, ia telah wujud semenjak sekian lama tetapi ia masih berleluasa. Perkara ini tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi di platform e-dagang yang ternama," kata Ayu kepada Gempak.

Tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, Ayu menyeru orang ramai supaya menonton filem AADD menerusi saluran yang betul.

"Saya ada hak nak cakap dan suarakan pendapat kerana ia terkena kepada batang hidung saya sendiri. Biarpun saya masih baru, baru lebih kurang 10 tahun dalam industri, saya mahu pertahankan hak saya. 

"AADD juga masih ditayangkan di Astro First. Dengan hanya RM15, penonton boleh menghayati AADD berulang-ulang selama 48 jam. 

"Ha, di situ anda boleh tonton filem AADD sampai muntah hijau. Ia juga tidak menjadi satu kesalahan kerana ia menerusi saluran yang betul.

BACA: Bestnya! Ada Apa Dengan Dosa Masuk Pawagam September Ini

"AADD juga bakal bersiaran di pawagam pada 10 September ini. Jemput ke panggung, datang dan tonton. Saksikan sendiri bagaimana filem AADD ini digarap kerana pada asalnya ia memang untuk format pawagam," katanya lagi.

Semalam, isu kegiatan penjualan filem-filem tempatan seperti AADD dan Keluarga Iskandar The Movie yang dicetak rompak di platform e-dagang hebat diperkatakan.

BACA: FINAS Kecewa Platform E-Dagang Jual Filem Cetak Rompak, 'Keluarga Iskandar' Antara Mangsanya

BACA: Laman e-Dagang Jual Filem Cetak Rompak, KPDNHEP Boleh Arahkan Kandungan Diturunkan

BACA: MCMC Akan Sekat Platform E-Dagang Jual Produk Cetak Rompak


Kontroversi ini turut mendapat perhatian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

 


#Ayu Puteh #Ada Apa Dengan Dosa