Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel melahirkan rasa terkejut serta terharu apabila mendapat tahu namanya tercalon dalam kategori Best Southeast Asia Act menerusi MTV EMA 2021 yang bakal berlangsung pada 15 November depan dan disiarkan menerusi MTV saluran 718 Astro.

Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 24, berkata, sungguhpun masih belum tahu untung nasibnya menerusi anugerah tersebut, penyanyi lagu Sumpah itu tetap melahirkan rasa bersyukur menerima pengiktirafan awal daripada majlis anugerah antarabangsa.

A post shared by Naim Daniel (@naimdanielx)


“Sejujurnya saya tidak pernah jangkakan pencalonan ini akan berlaku. Setahu saya, label muzik saya juga tidak menghantar pencalonan ke anugerah berkenaan. Jadi, ketika kami dapat berita yang mengatakan saya tercalon, saya sangat terkejut!

“Tambahan pula, saya merupakan satu-satunya penyanyi yang mewakili Malaysia untuk kategori berkenaan. Tentulah rasa tak percaya tak teruja. Saya tak tahu bakal menang atau tidak, tetapi saya tetap bersyukur dengan berita ini,” katanya kepada Gempak.

Naim tercalon dengan artis-artis dari negara Asia Tenggara lain seperti Lyodra (Indonesia), SB19 (Filipina), Ink Warunton (Thailand), JJ Lin (Singapura) dan K-ICM (Vietnam).

Dalam pada itu, Naim turut menzahirkan rasa ingin memberikan yang terbaik pada masa akan datang, seiring dengan pencapaiannya setakat ini.

“Jika dihitung, keberadaan saya dalam industri muzik baru lima tahun. Ia merupakan satu perjalanan yang agak pendek bagi saya. Namun, hal ini memberikan saya lebih keyakinan untuk menghasilkan karya-karya yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya lagi.

Ditanya apakah harapannya terhadap pencalonan menerusi MTV EMA 2021 itu nanti, Naim menjelaskan, dia mempunyai keinginan untuk menang, tetapi ia bergantung pada rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

“Tipulah kalau sesiapa saja yang dicalonkan tidak ada perasaan nak menang. Saya nak menang, tetapi apa pun, rezeki Allah yang tentukan. Di kesempatan ini, saya ingin ucapkan terima kasih kepada peminat, MTV dan juga rakan media yang sering menyokong saya.

“Perjalanan ini merupakan perjalanan semua orang. Saya rasa pencalonan ini merupakan pencalonan kita bersama sebab saya bawa harapan semua orang. Saya juga berharap agar perkara ini dapat menjadi kenang-kenangan untuk saya ceritakan pada anak cucu saya pada kemudian hari,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terkini, Naim bakal muncul menerusi program realiti Suara Viral Musim Kedua sebagai pengacara. Selain itu, Naim juga akan menerbitkan beberapa single selain mengerjakan album penuh untuk keluaran tahun hadapan.

MTV EMA 2021 bakal disiarkan pada 15 November 2021 (waktu Malaysia) dengan pra-anugerah bermula 8 malam dan diikuti majlis utama pada 8.50 malam.

Untuk mengundi calon kegemaran boleh berbuat demikian di https://www.mtvema.com/en-asia-pacific/vote/.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!