Cukup empat hari umat islam merayakan Syawal pada hari ini, dan rata-rata rakyat Malaysia menyambutnya dalam suasana serba sederhana.

Syabas diucapkan kepada yang mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sepanjang berhari raya dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Kita sebagai rakyat seharusnya berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi ‘kelonggaran’ untuk berziarah pada hari raya pertama. Sekurang-kurangnya diberi peluang, walaupun tidak dibenarkan merentas negeri (hanya daerah). Syukur!

Namun, agak menyedihkan apabila ada segelintir daripada kita tidak mengendahkan arahan dikeluarkan supaya mematuhi SOP dan tidak berhari raya selain daripada Syawal pertama.

Bagai mencurahkan air ke daun keladi! Mungkin itu istilah sesuai digunakan buat golongan ‘terlebih’ berani ini.

Mungkin di dalam benak fikiran masing-masing terdetik “alah…takkanlah polis nak cari sampai rumah…” atau “tak mungkinlah kita akan kantoi!”

Tapi bila dah kantoi dan tertangkap, didenda pula RM3,000 (tuan rumah) dan RM1,000 (tetamu), tahu pula merungut dan memberikan macam-macam alasan!

Maaflah, nasi dah menjadi bubur! Nak tak nak kena bayar kompaun! Satu pembaziran, tetapi baguslah juga sekurang-kurangnya anda menjana ekonomi negara!

Itu belum lagi mengambil kira berbondong-bondong yang keluar dari ibu kota untuk pulang berhari raya ke kampung…Alahai, mentang-mentang virus tak boleh dilihat dengan mata kasar, masing-masing lagaknya seperti memiliki taming sari, kebal dari segala-segala.

Terlepas ketika keluar dari ibu kota belum tentu berjaya pulang semula ke kediaman masing-masing tanpa perlu membayar kompaun ya…Ingat tu!

Apa pun, sentiasalah beringat yang kita masih belum menang! Jangan ambil ringan perintah dikeluarkan kerajaan kerana semuanya untuk kebaikan kita bersama.

Tak kantoi tak apa, tetapi apa yang kita dapat kalau tidak jujur kepada diri sendiri? Adakah itu yang boleh memuaskan hati? Silakan...tetapi kalau dah dapat sakit, masa itu menangis air mata darah pun tidak berguna lagi...

Nak cakap sikit ni…Jangan kecil hati dengan teguran dan pandangan penulis ya! Sesekali ‘cuit’!