Gara-gara ujian mendengar Bahasa Melayu SPM 2021 semalam, #SPM2021 menjadi trending di Twitter.

Semuanya bermula apabila calon SPM 2021 mendakwa perkataan ‘Salang Sayang Resort’ tidak disebut dengan jelas menyebabkan mereka gagal menjawab dengan baik.

Akibat sakit hati, ada segelintir calon SPM 2021 bertindak menyerang pusat peranginan yang terletak di Pulau Tioman itu dengan meninggalkan rating buruk mengenai resort itu di Google.



Malah kesan daripada tindakan tersebut, rating Salang Sayang Resort menurun selain akaun Instagram juga turut diserang calon yang tidak berpuas hati.

Admin Salang Sayang Resort walau bagaimanapun dilihat tenang dan meninggalkan ucapan yang baik-baik buat calon SPM batch 2004. Dia juga memohon calon-calon tidak marah dan kekal tenang.

A post shared by SalangSayangResort (@salangsayangresort)


Bagaimanapun, ada juga calon SPM 2021 yang tidak berpuas hati dengan tindakan kurang bijak dan bertindak mengikut emosi.

“Nak meroyan go on, tapi jangan sampai rosakkan bisnes orang lain!”

“Saya faham semua tengah marah dengan ujian mendengar Bahasa Melayu, tetapi Salang Sayang Resort tak bersalah pun dalam hal ini. Anda semua sudah berusia 18 tahun tetapi berkelakuan macam kanak-kanak berusia 8 tahun. Kalau anda marah sebab salah tulis, sepatutnya terima sahaja, bukan menyusahkan orang.”

Antara komen yang ditinggalkan warga Twitter menggunakan tanda pagar #SPM2021.

Selain it, salah seorang calon SPM 2021 turut memohon maaf bagi pihak pelajar batch 04 kepada pemilik resort.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan sebanyak 3,382 pusat peperiksaan dibuka bagi Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) termasuk Ujian Amali Sains peperiksaan SPM 2021.

Ujian Bertutur Bahasa Melayu dilaksanakan bermula 8 Februari hingga 10 Februari, Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 22 hingga 24 Februari manakala Ujian Mendengar kedua-dua bahasa akan dibuat pada 21 Februari.