Setakat ini #NakCakapSikit perhatikan semakin ramai yang sudah boleh menyesuaikan diri dengan situasi semasa, hidup bersama virus Covid-19.

Berjalan ke mana-mana pun, pelitup muka tidak dilupakan. Baguslah, sudah ramai yang mula sedar dan menerima.

Tapi dalam pada kita semua berjaga-jaga masih ada sekelompok yang acah kebal. SOP ke laut, konon dah bebas! Hello…Di luar negara sana pun dah mula pakai pelitup muka balik tau!

Ni #NakCakapSikit nak ingatkan, kita semua masih belum menang walaupun kelonggaran sudah diberikan. Tak percaya, rujuk laman web Kementerian Kesihatan tengok sendiri jumlah kes yang semakin meningkat.

Hospital juga kembali penuh dengan pesakit-pesakit dijangkiti Covid-19 dan jumlah kematian setiap hari juga agak membimbangkan.

Dan yang terbaru, muncul pula varian Omicron! Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengumumkan kerajaan akan memperhalusi semula langkah bagi mengumumkan fasa 'Peralihan ke Endemik' sehingga mendapat maklumat lanjut berhubung varian tersebut.

Ya, betul…setakat ini memang belum ada kes membabitkan varian Omicron di Malaysia, tetapi tindakan berhati-hati perlu dilaksanakan berikutan varian itu dilaporkan sangat pantas dan mudah berjangkit.

Oleh itu, tingkatkanlah SOP kendiri masing-masing ya. Kita tak tahu sejauh mana Omicron ni boleh pergi dan kalau boleh tidak mahulah ada di antara kita yang dijangkiti.

Sebab…kalau itu berlaku, mungkinkah kita semua akan kembali ke Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula?

Harap-harap tidaklah ye. #NakCakapSikit yakin, kita semua pun dah tak ‘lalu’ lagi nak hidup berkurung, tak dapat pergi ke mana-mana…Jumpa mak ayah di kampung pun dah tak boleh!

Jangan pandang ringan virus ini hanya kerana kita tak nampak…Tapi beringatlah, yang virus ini ada dalam kalangan kita dan mampu bermutasi sehingga wujud varian baru.

Semua pihak haruslah sentiasa berwaspada dan jangan mengambil risiko ketika kerajaan sedang memantau varian yang sedang menular ini.

Setakat ini beberapa negara mula bergegas membendung penularan varian baharu COVID-19, Omicron.

Beberapa negara sudah mengumumkan rancangan untuk menyekat perjalanan dari selatan Afrika, lokasi di mana varian itu muncul, termasuk hab perjalanan utama Qatar, Amerika Syarikat (AS), Britain, Arab Saudi, Kuwait dan Belanda.

Jepun juga sudah menyertai negara lain menyekat semua kemasukan pelancong asing bagi membendung penularan varian baharu COVID-19, Omicron.
Israel sudah menutup sempadannya kepada warga asing sementara Australia melaporkan tiga kes varian tersebut.

Malaysia juga mengambil langkah mengetatkan kawalan sempadan dengan menyekat semua ketibaan pelawat asing terutama dari Afrika.