Populariti kini berada di kemuncak, pelawak Namie mengakui ada saja wanita yang mencuba untuk menggoda selain berani meluahkan hasrat untuk menjadi isteri keduanya.

Bagaimanapun, Namie memberitahu isterinya iaitu Izzatul Akma mengetahui segala aktivitinya termasuklah komen atau mesej daripada peminat wanita.


“Apa saja privasi saya, semua isteri tahu. Apa saja benda yang masuk IG, TikTok, FB dan Live semuanya isteri tahu. Jadi, isteri tahu itu bukan daripada saya.

“Isteri seorang profesional, jadi dia tak perlu rasa ‘panas’, sakit hati sebab dia tahu yang buat itu orang kepada kita, bukan kita kepada orang.

“Ada juga wanita berani cakap ‘tak nak tambah nombor dua ke?’, kadang-kadang itu ada direct kepada isteri saya pun ada, contoh dia komen ‘kak, tak nak merasa madu ke?’.

“Macam saya cakap tadi, saya tak buat, orang yang buat kepada saya. Isteri saya gelak saja la,” kata Namie kepada Gempak.

Namie ditemui ketika sidang media rancangan komedi UBI SUPERSTAR LIVE yang diadakan di Mighty Monster MyTOWN, Kuala Lumpur pada Selasa.

Untuk rekod, ahli kumpulan lawak UBI ini mendirikan rumah tangga dengan Izzatul pada Mei 2021 dan pasangan itu dikurniakan cahaya mata bernama Ivy Alisa pada Mac tahun lalu.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.