Bekas peserta program Dewi Remaja 2018, Aween Ismail mendedahkan dirinya pernah disantau individu yang dikenalinya beberapa tahun lalu.

Jelas Aween atau nama aslinya Nik Farzuwin Nik Ismail, dia telah mendapatkan rawatan di beberapa buah hospital namun penyakitnya yang didakwa keluar darah dari kemaluan dan mulut itu gagal dikesan.

Tanda awal di santau

“Saya kesan diri saya disantau selepas saya keluar dan masuk dari empat buah hospital secara berterusan. Saya masuk Hopital Sungai Buloh, Selayang, Kuala Lumpur dan Shah Alam.

“Saya dimasukkan ke hospital akibat berlaku pendarahan pada rahim saya dan sering muntah berdarah, saya ingat saya kena appendiks masa tu.

“Tapi apa yang mengejutkan saya apabila doktor kata saya tidak menghidap sebarang penyakit pun, apatah lagi menghidap kanser,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran sebuah drama bersiri di Scream Park, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.

Ambil keputusan untuk bedah

Tambah Aween, disebabkan tidak tahan menanggung kesakitan, dia memutuskan untuk melakukan pembedahan.

“Sampai satu tahap saya tidak mampu menahan sakit, saya sudah ambil keputusan untuk melakukan pembedahan. Tetapi niat itu saya tangguhkan disebabkan saya terikat dengan kontrak perjanjian produksi ketika itu.

“Saya ketepikan rasa sakit demi untuk meneruskan perjuangan saya dalam program tersebut dan teruskan semangat untuk lakukan tugasan yang diberikan.

“Selang beberapa minggu, saya dimasukkan ke hospital sekali lagi dan terus melakukan pembedahan pada malam itu. Hasil pembedahan doktor maklumkan usus saya cantik dan tiada langsung masalah,” tambahnya.

Darah tersembur dari mulut

Ujar Aween lagi, terjadi satu insiden ketika dalam perjalanan menuju ke lokasi penggambaran, secara tiba-tiba darah tersembur keluar dari mulutnya.

“Ada satu hari, dalam perjalanan ke lokasi penggambaran, darah tersembur keluar dari mulut saya. Saya terus dibawa ke Hospital Selayang. Waktu itu saya sudah terbaring di atas katil dan tiada tenaga, rasa lemah je badan ni.

“Masa dekat hospital itu juga, salah seorang sepupu saya ternampak kelibat nenek kebayan berdiri di sebelah saya. Dia telefon keluarga saya untuk maklumkan tetapi saya menafikan perkara itu dan saya langsung tak percaya,” katanya lagi.

Belajar kenal kawan dan memaafkan pelaku

Biarpun sudah memaafkan sikap pelaku, Aween sentiasa berpesan kepada dirinya untuk berhati-hati dalam memilih kawan.

“Apa yang saya belajar dari kejadian ini, kita kena sentiasa kuatkan diri dan jangan terlalu percaya orang disekeliling kita. Jangan menilai dari luaran saja, kadang orang yang pakaian sopan belum tentu perangai molek, begitu juga yang sebaliknya.

“Perjalanan karier saya semakin lama sudah dikenali dan diterima baik, saya akan sebaik mungkin mengelak dari pekara-perkara negatif. Saya bersyukur dengan nikmat dan rezeki yang dikurniakan.

“Saya juga dah memaafkan kepada semua orang yang pernah buat jahat pada saya, sama-sama kita perbaiki diri kita, Insyallah,” ujarnya.