Saluran gaya hidup Muslim kontemporari, Naura dengan berbesar hati mengumumkan sesi Naura Shares bagi bulan Julai yang bertemakan Haji bersempena dengan Aidiladha yang bakal menemui kita lebih kurang sebulan sahaja lagi!

Naura Shares merupakan sebuah program perkongsian dari hati yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh intimasi bersama penonton dan dipersembahkan oleh individu-individu luar biasa yang terdiri dari barisan selebriti tanah air dan figura berpengaruh dari pelbagai latar belakang.

Menerusi sesi ini, mereka akan berkongsi kisah-kisah penuh inspirasi dan pengalaman bermakna dalam hidup masing-masing.

Pertama kali dianjurkan pada bulan Oktober tahun lalu, Naura Shares kali ini merupakan edisi yang kelapan dan istimewa bersempena dengan kehadiran Aidiladha, sesi kali ini akan diserikan dengan kehadiran barisan selebriti terkemuka tanah air, Neelofa, Adam Corrie dan Atu Zero.

Mereka akan turut ditemani pasangan hebat yang pernah mencatatkan rekod berbasikal ke Makkah, Ahmad dan Adilah, di mana pasangan ini akan berkongsi tentang pengalaman melengkapkan ekspedisi Kembara Memburu Hikmah.

Naura Shares merupakan suatu inisiatif yang memberikan platform bagi individu-individu luar biasa untuk berkongsi cerita mereka yang diharapkan dapat menaikkan semangat dan memberi inspirasi positif kepada audiens dalam perkongsian secara santai dan bersahaja.

Antara tokoh dan selebriti ternama yang pernah menerajui Naura Shares termasuklah Datuk Profesor Dr Che Muhaya, Lisa Surihani, Hanis Zalikha, Aizat Amdan, Fikry Ibrahim, Tya Ariffin, Dr. Mukhlis, Farah Fauzana, Datuk Khairul Anwar Salleh, Caprice, Altimet, Daphne Iking, Shuib Sepahtu, Heliza Helmi, Ardell Aryana, Aliza Kim, Mizz Nina dan ramai lagi.

Bagi Edisi Haji ini, Naura Shares akan bersiaran di Astro Naura, saluran 125 mengikut ketetapan berikut:

Episod Neelofa (Jumaat, 9 Ogos 2019, 9.00 malam)

Dalam sesi ini, Neelofa akan berkongsi tentang pengalaman beliau ke Tanah Suci Makkah dengan harapan memberi inspirasi kepada anak-anak muda yang lain.

Episod Atu Zero (Jumaat, 16 Ogos 2019, 9.00 malam)

Audiens akan melihat sisi lain Atu. Merupakan seorang anak yang amat mencintai keluarga dan agamanya, beliau akan berkongsi tentang pengalaman pertamanya ke Makkah bersama ibunya dan hasrat tidak tercapainya untuk membawa ayahnya ke situ. Ayah Atu meninggal pada tahun 2012.

Episod Adam Corrie (Jumaat, 23 Ogos 2019, 9.00 malam)

Sebagai seorang Muallaf, mungkin terdapat banyak perkara yang perlu dipelajari dan gaya hidup yang perlu diubah. Pada sesi ini, Adam bersedia untuk berkongsi pengalamannya dalam mengerjakan Umrah dan ziarahnya dari perspektif seorang ‘saudara baru’.

Episod Adam & Adilah (Jumaat, 30 Ogos 2019, 9.00 malam)

Ahmad Mohd Isa dan Noradilah Mohd Sapie adalah pasangan suami isteri yang terkenal dengan Kembara Memburu Hikmah di mana mereka tekad berbasikal ke Tanah Suci Makkah yang bermula dari angan-angan yang beralih kepada pengalaman berbulan madu. Dalam sesi ini, mereka akan berkongsi kisah mereka tentang keajaiban, berkat, niat, dan doa sepanjang perjalanan berbasikal ke Makkah.