Status penyanyi Ernie Zakri di Twitter yang meluahkan rasa teruja apabila tercalon dalam senarai Top 5 bagi kategori Penyanyi Wanita Popular untuk sebuah anugerah yang akan diadakan Julai nanti menerima komen negatif netizen.

Netizen tersebut mengatakan Ernie hanya akan mendapat undian daripada ahli keluarga sahaja memandangkan semua orang akan lebih tertumpu mengundi calon lain iaitu penyanyi Aina Abdul.

“Mesti ahli keluarga saudara mara saja yang undi. Semua orang undi Aina Abdul,” tulis individu tersebut.

Bagaimanapun anak saudara kepada penyanyi Ziana Zain itu dilihat tenang dan tidak melatah membalas komen tersebut.

“Hihihi tak apa, kalau keluarga ja undi pun Alhamduillah. Hidup ini bukan satu pertandingan,” ujarnya.

Terdahulu, Ernie yang juga merupakan isteri kepada penyanyi Syamel berkongsi rasa teruja dan gembiranya tercalon dalam kategori berkenaan menerusi satu ciapan dimuat naik di Twitter.

Menerusi hantaran itu, Ernie mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang mengundinya secara atas talian.

Pelantun lagu Ku Bersuara itu mendedahkan sekiranya menang, dia akan menghadiahkan para peminatnya dengan mengeluarkan lagu baharu.

“Tercalon pula Top 5 Penyanyi Wanita Popular! Weehoo! Ok la nanti kita raikan dengan lagu baru la! Terima kasih sudi undi kita tekan tekan like like banyak banyak tu.

“Sayang semuanya. Menang kita keluarkan lagu baru, tak menang pun kita keluarkan! Haha! Muah!” kongsinya.