Sejak dilancarkan dua hari lalu, muzik video single terbaharu juara Gegar Vaganza 3, Azharina mendapat respon kurang memberangsangkan terutama di YouTube.

Kebanyakannya menyifatkan muzik video itu ketinggalan zaman dan tidak menarik.

Menjawab kata-kata sedemikian, jelas penerbitnya, Dr. Irma Shida, muzik video itu sengaja dibikin sebegitu.

"Sebenarnya itulah yang kami cuba tonjolkan! Saya nak zaman dulu, this is way back.

"Lagu power ballad nak bersaing dengan muzik video moden sekarang ini mungkin agak tak sesuai sebab susunan lagunya memang tradisional.

"Saya akui muzik video ini agak kebelakang, tetapi saya mahu tonjolkan keunikan lagu ini sama seperti zaman-zaman lagu power ballad sekitar 1990-an.

"Ia bukan disebabkan kekangan bajet atau kepakaran tetapi ini kualiti yang saya bayangkan supaya nampak kelainan," katanya kepada Gempak.

Sementara itu, jelas Azharina dia tidak melihat kritikan itu dari sudut pandangan negatif.

"Buruk atau baik komen orang ia tetap publisiti," katanya.

Lagu Lakar Janji merupakan lagu ciptaan Dr. Irma sepenuhnya dan menjadi lagu paling mahal pernah dihasilkan Azharina dengan bajet kos lima angka.

Lakar Janji juga menjadi lagu paling sukar dirakamkan sepanjang tempoh 18 tahun Azharina bergelar penyanyi.