Pengacara dan pelakon Elly Mazlein, 41, berang apabila ada netizen yang mempertikaikan caranya dalam memberi bantuan kepada golongan yang berada dalam kesusahan.

Menurut individu yang dikenali dengan nama Cik Miss, dia berpendapat niat murni yang dilakukan Elly sepatutnya tidak dihebohkan kepada orang ramai.

"Terbaik buat bagi bantuan. Sebaiknya bantuan sedekah biar la Allah dan orang yang disedekahkan saja yang tau.Tak perlu dihebohkan pertolongan bantuan itu," tulisnya di ruang komen.

Tidak berpuas hati, pelakon drama Kampung People menegaskan apa yang penting adalah bergantung dengan niat.

"Kalau tak bagi tau macam mana orang lain nak tau yang kami nak bagi bantuan. Maknanya saudara Ebit Lew pun salah cara la?

"Segalanya bergantung pada niat. Bukan ke cara macam ini juga sedikit sebanyak buat orang lain di luar sana tergerak hati ingin membantu. Ni la dia kaki sembang," tulis Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina.

Tambah pengacara program Borak Kelamin, dia tidak pernah meminta foto daripada individu yang menerima bantuan untuk dikongsikan di media sosial.

"Saya bagi sumbangan tak ada suruh mereka ambil gambar dan bagi dekat saya. Kemudian, saya jaja gambar tersebut dalam Instagram saya. Ada ka?

"Saya lagi bijak dari awak soal maruah orang. Saya membantu kerana Allah dan ihsan sesama manusia.

"Jangan mengajar orang, jangan hukum orang, jangan bandingkan orang dan jangan buat kerja Allah. Hadam telan mamah ni baik-baik," tulisnya lagi.

Sebelum ini, Elly memohon orang ramai yang dalam kesulitan dan memerlukan bantuan supaya untuk menghubunginya di Direct Message (DM) Instagram.

BACA: "Siapa Yang Perlu Bantuan DM Ya...Kak Lina Bantu Sikit-Sikit Supaya Semua Boleh Merasa" - Elly Mazlein