Pelakon dan penerbit Fadzil Zahari tampil membuat permohonan maaf berhubung isu didakwa menyindir kereta bot yang sepatutnya digunakan ketika keadaan kecemasan banjir seperti yang melanda negara ketika ini.

Jelas Fadzil, tiada niat untuk mencetuskan provokasi sebaliknya mahu menyebarkan mesej agar bersama-sama berganding bahu menggembleng tenaga untuk berkongsi beli jentera atau aset seperti yang dinyatakan.

"Abang nak minta maaf buat yang terasa hati dengan posting 2 hari lepas pasal kereta bot Polis dan Bomba ni, dan bagi yang komen “sindir ATM sama macam sindir YDPA”, boleh tengok semula gambaq tu takda aset ATM pun.

"Sebab niat abang sebenaqnya nak ajak sapa2 atau NGO yang berminat nak sama-sama kongsi beli jentera atau aset yang seperti ni supaya kita boleh sama-sama guna waktu kecemasan, itu saja," katanya menerusi posting di Instagram pada Jumaat.



Dalam pada itu, di sebalik kecaman yang diterima, suami kepada Yana Samsuddin ini ternyata terharu dengan teguran yang diterima daripada anggota badan beruniform negara secara berhemah.

"Dalam ramai-ramai yang dok maki hamun dan kecam tu, abang terkesan dengan komen 3 orang anggota ni, seorang askar, seorang polis dan seorang bomba.

"Walaupun kita sedia tahu, anggota ni rata ratanya lasak, keras dan kasar tapi tegurannya sangat lembut dan berhemah, mungkin inilah anggota yang sama-sama dengan saya dan Yana ketika di Padang Jawa 6 hari yang lepas, wallahualam.

"'Salam bang, minta maaf, saya rasa tak sesuai abang nak post macam ni ketika kita semua dalam keadaan kecemasan ni, berkenaan aset-aset yang abang post tu kalau ada apa-apa soalan boleh je terus PM saya jawab'.

"Saya hormat tuan puan semua, dan sekali lagi saya minta maaf buat yang terasa," tambahnya.