HIBURAN
Norish Karman Kesian Dengan Anak Muda Nak Jadi ‘Influencer’ & Abaikan Pelajaran - “Tak Guna Kalau Banyak Duit Tapi…”
Asyikin Mayudin
23/05/2025
|
05:55 MYT
Pelakon Norish Karman simpati dengan segelintir anak muda yang mempunyai pemikiran untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi hanya kerana mahu bergelar pempengaruh media sosial.
Cabang kerja
Pelakon berusia 51 tahun itu turut berpendapat, apa jua cabang kerja yang ingin diceburi harus mempunyai ilmu selain diikuti dua elemen penting dalam kehidupan iaitu adab dan agama.
“Mungkin ini antara cabaran era masa kini yang mana kita lihat ramai mahu jadi influencer. Mahu jadi influencer dengan harapan akan cepat kaya sehingga meninggalkan pelajaran.
“Saya amat kasihan dengan anak-anak yang ada pemikiran begitu. Kerana apa sahaja yang kita lakukan dan apa jua minat kita, tiga perkara ini harus didahulukan iaitu agama, adab dan pelajaran.
“Tidak guna kalau banyak duit tapi tiada ilmu, tidak berguna ilmu jika tiada adab. Ilmu dan adab adalah satu kemestian dalam kehidupan selain agama,” katanya.
Norish berkongsi pandangannya itu ketika melakukan sesi siaran langsung di TikTok.
3 perkara
Berkongsi lanjut, Norish berkata, jika tiga elemen tersebut menjadi pegangan setiap manusia, pasti segala hal dipermudahkan.
“Peganglah dengan tiga perkara ini, insya-Allah hal-hal lain akan dipermudahkan. Jangan fikir nak duit semata-mata.
“Memang semua orang perlukan duit, namun jika ada duit tapi tiada ilmu, duit itu akan jadi satu pembaziran.
“Kalau ada ilmu tapi adab pula tiada, manusia itu adalah manusia yang sia-sia. Sebagai orang Islam juga harus ada iman, jadi perlu dalami ilmu agama,” ujarnya.