Laman Utama
NUSA FEST: Butterfingers, Search, Wings, The Changcuters, Fourtwnty & Lainnya Korang ‘Liar’, ‘Rabak Teruk!
Best atau puas hati. Mungkin itu dua perkataan yang paling sesuai untuk digambarkan tentang penganjuran julung kali NUSA FEST yang berlangsung pada 8 dan 9 Julai lalu di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur.
Dua hari dengan 24 penghibur dan pemuzik dari tiga negara jiran iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura, NUSA FEST yang dibawakan oleh Shiraz Projects adalah sebuah usaha ‘berani mati’, gila dan penuh visi.
Seharusnya sebelum menyentuh kepada persembahan barisan artis, Shiraz Projects terlebih dahulu wajib diberi pengiktirafan. Tanpa penaja, dua kali tertunda, terpaksa menurunkan harga tiket, bertukar line up pemuzik dan beberapa perkara lain yang umum mungkin tidak ketahui, festival ini akhirnya tetap dilaksanakan secara ‘kamikaze’.
Tanpa keberanian dan bersikap ‘anak jantan’ NUSA FEST boleh saja terkubur menjadi pusara atau angan-angan mat jenin tetapi seperti kata Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim dalam sidang media beberapa minggu sebelum festival berlangsung, projek ini diteruskan bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk industri hiburan tanah air khususnya dan Nusantara amnya.
Ternyata itulah yang terjadi saat berbondong-bondong penggemar muzik entah dari ceruk mana hadir ke NUSA FEST untuk melihat beragam aksi dan kehandalan pemuzik di atas panggung.
Ada 24 buah penghibur. Untuk mengulas satu persatu artikel ini akan menjadi seperti ‘laporan tahunan’. Untuk mencicirkan nama mereka juga seperti menafikan usaha dan kreativiti yang ditumpahkan pada dua hari festival.
Tapi ketahuinya meski ada nama yang tercicir dari disebut, anda semua juara di hati peminat masing-masing.
Masakan tidak, peminat masih setia berhujan dan berpanas di bawah terik mentari sebelum bersenang-senang menonton sama ada secara duduk atau berdiri dan bergoyang di malam hari bersama penghibur pilihan masing-masing.
Pada hari pertama tentulah liarnya persembahan Efek Rumah Kaca, Burgerkill, Seringai membawa kepada dua kugiran rock gergasi legenda Malaysia, Search dan Wings pada sebelah malam sudah cukup membuktikan beragam genre yang dilantunkan tetap menyatukan penonton untuk berhibur.
Kehangat dan ‘liarnya’ setiap penghibur membuat persembahan disambung pada hari kedua.
Daripada Forceparkbois, Pusakata, Kugiran Masdo, The Changcuters sebelum Fourtwnty membikin larut semua yang hadir dengan muzik mereka dan terakhir Butterfingers diberi penghormatan menutup malam kedua festival dengan cukup ‘rabak’ dan berkelas diiringi letupan bunga api, apa lagi yang mahu diperkatakan.
Lupakan soal mengkritik tentang kekurangan yang pastinya ada dalam semua penganjuran kerana yang paling penting adalah meraikan dan berterima kasih kerana ada pihak seperti Shiraz Projects yang punya ‘api’ persaingan dalam segi bisnes muzik dan melakukan festival.
Melihat cara pentas utama didirikan bersama lampu dan sistem bunyi mengikut piawaian festival, adanya ruang WARONG NUSA dan PASAR NUSA di atas tapak seluas Bandar Malaysia sudah membuat penulis tersenyum.
Dan penulis yakin bagi generasi yang lahir pada tahun 80an, menikmati semua jenis muzik, berpanas, berhujan atau hanya bersusah payah untuk hadir ke sesebuah festival besar seperti KL Sunburst, beberapa siri Urbanscape, Rock The World, TAPAUfest atau apapun jenis pesta yang dianjurkan sebelum pandemik COVID 19 melanda dunia pulang dengan seronok kerana telah hadir ke NUSA FEST.
Must-Watch Video