Hiburan
OlaBola The Musical Bolot 8 Anugerah Boh Cameronian Arts Awards
Produksi OlaBola The Musical mengungguli Anugerah Seni Boh Cameronian (BCAA) edisi ke-16 yang berlangsung semalam.
Teater muzikal arahan pertama Puan Sri Tiara Jacquelina itu membolot lapan anugerah, termasuk muncul sebagai salah satu pemenang bagi kategori utama, Best of 2018.
Menyifatkan kemenangan itu adalah hasil kerjasama berpasukan, Tiara bersyukur kerana usahanya untuk mengabadikan karya hebat Chiu Keng Guan itu ke pentas teater mendapat pengiktirafan juri.
"Saya masih ingat saat-saat ketika OlaBola The Musical masih di peringkat perancangan. Saya dan pasukan memerah otak bagaimana mahu menghasilkan sebuah pementasan muzikal tentang bola sepak.
"Bermain bola di atas pentas merupakan kerisauan terbesar saya ketika itu, tetapi saya bersyukur kerana akhirnya semuanya berbaloi.
"Saya sangat bertuah kerana mempunyai pasukan yang sangat hebat dan pelakon-pelakon yang berdedikasi," kata Tiara memetik laporan Astro Awani.
Bagi kru dan pelakon, mereka cukup berbangga menjadi sebahagian daripada karya yang diadaptasi daripada kisah kegemilangan pasukan bola sepak negara pada era 80an itu.
"Memainkan watak Tauke merupakan cabaran terbesar dalam kerjaya saya sebagai pelakon. Tetapi ia memberi keyakinan kepada saya untuk menerima apa sahaja cabaran yang lebih besar di masa hadapan," kata Brian Chan yang dinobatkan sebagai Pelakon Utama Terbaik.
"Kami membuka pintu yang mungkin selama ini orang lain tidak berani buka. Muzikal ini mengetengahkan hip hop sebagai asasnya, dan kerana ceritanya berkaitan dengan bola sepak, ramai orang yang sebelum ini tidak pernah tonton teater, hadir ke Istana Budaya untuk menontonnya," kata Altimet yang bertindak sebagai salah seorang penulis lirik bagi OlaBola The Musical.
Antara trofi yang dibawa pulang OlaBola The Musical adalah Persembahan Ensemble Terbaik, Pelakon Utama Terbaik, Reka Bentuk Set Terbaik dan Tiara sendiri membawa pulang anugerah Pengarah Terbaik.
BCAA yang dianjurkan sejak 2002, memberi pengiktirafan kepada penggiat seni persembahan daripada empat cabang, iaitu tarian, muzik, teater dan teater muzikal.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video