HIBURAN

Pakaian Seksi Dah Bagi Rakan ‘Non-Muslim’, Nora Danish Masih Ada 26,000 Foto Perlu Dipadam Di IG - “Bila Tengok Gambar Lama…”

Asyikin Mayudin 25/02/2025 | 02:55 MYT
Sejak mula berhijrah dan bertudung, pelakon Nora Danish memberitahu dia sudah memberikan semua pakaian lama yang mendedahkan aurat kepada rakan-rakan bukan beragama Islam.

Pakaian seksi

Nora atau nama penuhnya Nora Mohd Danish Hanif, 42, berkata, dia tidak boleh menjual pakaian tersebut kerana bimbang dosa orang yang membeli akan ditanggung dirinya.

"Pakaian-pakaian zaman saya seksi itu semuanya sudah diberikan kepada rakan-rakan saya yang bukan Islam.

"Sebab kalau saya nak jual pakaian itu tidak boleh, ibaratnya saya akan tanggung dosa mereka yang akan membelinya. Lama dah saya 'let go' semua pakaian itu, dah tak simpan lagi,” katanya kepada Gempak.

Nora berkata demikian ketika ditemui di majlis pertunjukan fesyen koleksi jenama Amber bertemakan 'Raya Romantics' di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Padam foto

Selain menjual pakaian seksi, ibu kepada dua cahaya mata itu juga berkata dia kini dalam proses memadam semua gambar yang agak keterlaluan di Instagram miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nora Danish Titip Pesanan Untuk Kaum Wanita Gemar ‘Membawang’ - “Amalkan Sedekah & Sentiasa Bertaubat”

ARTIKEL BERKAITAN: Nora Danish Bimbang Digelar Ustazah - "Adakalanya Kesilapan Kecil Saya Lakukan, Mereka Anggap Saya Mulia"

ARTIKEL BERKAITAN: Enam Selebriti Gred A Dilantik Wajah Rasmi Amber, Simbolik Gaya Hidup Premium & Moden!

"Saya sebenarnya perlu buang semua gambar tidak menutup aurat di Instagram tetapi mengambil masa kerana jumlah gambar di Instagram ada lebih kurang 26,000.

"Saya baru buang beberapa ribu dan masih ada banyak lagi, saya kena belek satu-satu. Apabila tengok gambar-gambar lama, saya cakap dalam diri 'apa lah aku buat dulu'.

"Namun itu merupakan proses kehidupan. Kalau tidak lalui fasa-fasa itu, mungkin tidak rasa menyesal seperti sekarang,” ujarnya lagi.

Istiqamah

Berkongsi mengenai Istiqamah, pelakon filem Lagenda Budak Hostel itu berkata, dia sentiasa berdoa kepada Allah agar dirinya berada di jalan yang benar menuju reda Ilahi.

"Untuk berhijrah itu senang tapi untuk istiqamah itu tidak mudah. Istiqamah perlu dipandang dari pelbagai sudut termasuk ingin jaga solat awal waktu dan beberapa lain lagi.

"Saya berharap dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk kekalkan rasa sedih, rasa berdosa dalam diri selama-lamanya.

"Kalau tanya saya petua untuk istiqamah, saya tiada jawapan. Tetapi sentiasa berdoa dikelilingi orang yang baik untuk sentiasa mengingatkan saya,” katanya.

#Nora Danish #Foto Seksi #Pakaian Seksi #Hijrah artis