Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pasangan Tular Bawa Bayi Atas Motor Mengaku Bukan Suami Isteri, Dalam Proses Berkahwin

Firdaus
25/05/2024 00:55 MYT
Jika sebelum ini tular di media sosial tentang satu kisah menyayat hati berkaitan pasangan yang membawa seorang kanak-kanak dengan alat bantuan pernafasan di atas motosikal, kali ini timbul pula cerita kurang senang di mana difahamkan kedua-dua individu tersebut belum mendirikan rumah tangga.

Tiada Sebarang Dokumen Perkahwinan

Menerusi laporan yang diterbitkan oleh Kosmo! Online, Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi Seberang Kota berkata, pasangan tersebut diminta untuk difaraqkan (dipisah) kerana tiada sebarang dokumen berkaitan pernikahan mereka.

Selain itu, sumber turut memaklumkan bahawa pihak masjid berkenaan akan cuba melengkapkan dokumen dan proses pernikahan kedua-dua individu itu.

"Kami dalam proses untuk mendirikan rumah tangga...

Menerusi laporan yang diterbitkan oleh mStar pula, bapa kepada kanak-kanak berusia 11 bulan tersebut membuka mulut berkaitan permasalahan yang berlaku. Lelaki berkenaan mengakui segala kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak masjid adalah benar.

"Sebelum ni kami sudah buat perancangan untuk berkahwin. Tapi kami lebih utamakan kesihatan anak, jadi kami dahulukan untuk menguruskan anak yang sakit.

"Tapi kami dalam proses untuk mendirikan rumah tangga. Saya sudah serahkan dokumen untuk berkahwin pada ustaz (imam masjid).

"Tok imam tu datang rumah saya... dia jelaskan mengenai proses untuk kami berkahwin.

"Katanya proses memakan masa seminggu untuk membolehkan kami bernikah. Kalau dah tok imam cakap macam tu takkan la kita tak nak percaya," katanya.

BERITA TRENDING: Individu Mengaku Sebagai Imam Masjid Dakwa Pasangan Tular Belum Berkahwin

Bercerita lebih lanjut, bapa kepada kanak-kanak terbabit turut menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa ibu kepada bayi berkenaan masih bergelar isteri kepada seorang lelaki.

"Dia sebenarnya sudah bercerai dengan suami dia sebelum ini. Dokumen mengenai penceraian dia dan suami pun kami sudah ada," kongsinya.

Terdahulu, kisah sebak pasangan yang tidak mampu membayar tambang teksi untuk membawa anaknya yang sakit ke hospital sebelum ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PILIHAN PEMBACA: Keluarga Bawa Bayi Pakai Alat Bantuan Pernafasan Tak Sangka Viral - “Hanya Ada RM12 dalam Poket…”

Akibat masalah kewangan pasangan itu terpaksa berulang-alik ke hospital menaiki motosikal bagi mengambil ubat.

Lantaran penularan kisah mereka, seorang pengusaha kedai automotif di Alor Setar tampil menghadiahkan sebuah kereta Proton Persona terpakai buat keluarga itu bagi meringankan beban.

Sekadar info, bayi lelaki itu terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan hampir setiap masa akibat menghidap masalah paru-paru kronik.

Sumber: mStar dan Kosmo! Online

#Viral #Netizen #Suami #Isteri #Tular #Bayi #Motor #Motosikal #Pasangan
;