Laman Utama
PDRM Sudah Mohon Ekstradisi Nur Sajat – “Jika Tiada Masalah, Proses Bawa Pulang Sajat Akan Mengikut Saluran Undang-Undang Antarabangsa…”
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan sudah menghantar permohonan untuk mengekstradisi usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat yang ditahan di Thailand, 8 September lalu.
Abd Jalil Hassan berkata, permohonan itu sudah dihantar kepada pihak berkuasa Thailand dan pihak negara ketiga yang menjadi lokasi tujuan Sajat seterusnya selepas Bangkok.
"Proses permohonan untuk mengekstradisi Sajat sudah disiapkan dan sudah dihantar kepada pihak berkuasa Thailand dan negara ketiga iaitu Australia.
"Pada masa ini kita sedang menunggu keputusan selanjutnya dari pihak berkuasa Thailand dan negara ketiga sebelum proses membawa balik Sajat dilakukan," katanya.
Tambah beliau lagi, sekiranya tiada masalah, proses membawa pulang Sajat akan dilaksanakan mengikut saluran undang-undang antarabangsa.
"Polis akan meneruskan proses membawa pulang Sajat kerana Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.
"Permohonan ini akan dibuat dalam tempoh masa terdekat namun bergantung kepada negara berkenaan sama ada akan memenuhi permintaan kita atau tidak," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Media sebelum ini melaporkan Nur Sajat ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.
Pada 9 September lalu atas kesalahan memasuki Thailand secara tidak sah, Nur Sajat didakwa di mahkamah namun usahawan kosmetik itu dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.
Nur Sajat turut diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan.
Dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Must-Watch Video