Penyanyi Tomok meluahkan rasa terkilannya apabila terpaksa melupakan hasratnya untuk beraksi di tiga konsert yang sudah dijadualkan pada tahun ini.

Menurut Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 36, dia akur apabila ketiga-ketiga konsert yang dijadual berlangsung antara Februari hingga April itu terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan.

"Tiga konsert dibatalkan atau ditunda pada tahun 2020. Pedih betul rasanya.

"Berbulan-bulan praktis untuk konsert ini, tapi itulah, kita hanya merancang, Allah tentukan segalanya," kongsinya menerusi satu entri di Instagram.

Tiga konsert tersebut ialah Stereofest New Boyz, 4G's dan Konsert Minggu Ini bersama New Boyz.

tiga konsert di batalkan/ditunda pada tahun 2020 pedih betul rasanya . berbulan bulan practice untuk konsert ini..tapi itulah,kita hanya merancang..ALLAH tentukan segalanya . saya yakin ada hikmah di sebalik semua yang terjadi..ada benda yang lebih baik untuk masa yang akan datang . insyaallah ❤️

A post shared by Tomok (@tomokofficial) on


Begitupun, kata Tomok dia yakin perancangan Allah itu pasti lebih baik.

"Saya yakin ada hikmah di sebalik semua yang terjadi.

"Ada benda yang lebih baik untuk masa yang akan datang. Insyaallah," katanya.

Di ruangan komen, rata-rata memberikan sokongan dengan kata-kata positif kepadanya untuk menerima apa yang terjadi dengan hati terbuka.

"Insya-Allah ada hikmah. Mungkin ada konsert lebih besar nanti. Semoga di permudahkan. Steady my brother," komen pengikutnya.

"Ada hikmahnya, mungkin bukan rezeki tahun ni. Insya-Allah ada rezeki tahun depan, mana tahu..," tulis peminatnya.