Suatu ketika dahulu, wajah pelakon Faizal Hussein kerap menghiasi layar lebar dan kaca. Namakan sahaja watak yang ada, hampir semua pernah dilakonkannya.

Pada usia 49 tahun, kredibiliti Faizal sebagai aktor masih kekal sebagai antara yang dipandang tinggi. Melihat usianya yang hampir mencecah separuh abad, agak luar biasa menyaksikan Faizal masih diberi kepercayaan untuk menggalas peranan utama dalam naskhah tempatan.

Terbaharu, Faizal diberi tanggungjawab untuk memegang salah satu watak utama dalam drama bersiri I-Tanggang.

Apakah formula yang digunakan Faizal untuk kekal dalam momentum yang sedemikian rupa?

Menerusi sidang media virtual I-Tanggang yang berlangsung baru-baru ini, Faizal berkata, tiada formula khusus yang diamalkan.

Kongsi Faizal, prinsipnya cuma satu iaitu sentiasa menjaga nilai eksklusif.

“Sejujurnya, tiada formula khas untuk kekal relevan dalam industri hiburan untuk sekian lama.

“Apa yang saya amalkan adalah sentiasa menjaga nilai eksklusif dan selalu menitik beratkan kualiti lakonan serta disiplin,” katanya.

Mengulas mengenai drama I-Tanggang, Faizal berkata, dia membawakan watak Rahmat, iaitu seorang ayah penyayang yang mengalami konflik bersama bekas isterinya.

Dalam masa sama, Faizal mengakui berminat untuk membintangi drama tersebut kerana ingin menyampaikan mesej tentang penyakit mental Munchausen Syndrome by Proxy kepada penonton.

“Mungkin dalam kalangan rakyat Malaysia tidak menyedari tentang penyakit ini. Ia sama dengan penyakit mental yang lain cuba kurang mendapat pendedahan.

“Jadi, apabila ditawarkan untuk membintangi drama I-Tanggang, saya rasa ia satu peluang yang bagus untuk berkongsi dengan umum mengenai penyakit mental berkenaan,” katanya lagi.

Penyakit mental Munchausen Syndrome By Proxy adalah penyakit mental yang menyebabkan penghidapnya sanggup untuk mendera seseorang demi meraih perhatian dan wang.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Turut dilakonkan oleh Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofea Jane, Andy Teh dan Rashidi Ishak, drama I-Tanggang bakal disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.