HIBURAN

Peguam Sahkan Isteri Fikry Ibrahim Tarik Balik Permohonan Cerai - “Sekarang Diberikan Laluan Untuk…”

Asyikin Mayudin 20/06/2025 | 01:55 MYT
Peguam syarie yang mewakili isteri kepada Fikry Ibrahim tampil menjernihkan kekeliruan susulan kenyataan bercanggah yang timbul berhubung kes perceraian pasangan berkenaan.

Penarikan balik

Menurut Wan Muhammad Afiq Mohd Razif, anak guamnya, Siti Khalizah Alihan sememangnya hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis bagi menarik balik permohonan cerai yang difailkan pada Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nekad Nak Cerai Sejak Mei, Isteri Fikry Ibrahim Ada Sebab Nak Berpisah - “Minta Maaf Saya Tak Boleh…”

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Fail Cerai Selepas 4 Bulan Kahwin, Ini Respons Fikry Ibrahim

ARTIKEL BERKAITAN: 4 Bulan Kahwin, Isteri Fikry Ibrahim Fail Cerai

“Ya, apa yang Fikry cakap semalam (dalam program Melodi) adalah betul.

"Saya sahkan bahawa Khalizah ada buat permohonan untuk tarik balik kes perceraian mereka,” katanya.

Bagaimanapun katanya, hakim membuat keputusan untuk memberi peluang kepada Khalizah selaku plaintif dan Fikry untuk melakukan perbincangan bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

"Sekarang diberikan laluan untuk perbincangan perdamaian,” ujarnya.

Pada prosiding semalam, Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin menetapkan sebutan semula kes pada 10 September depan.

Afiq sebelum ini memaklumkan anak guamnya memfailkan perceraian disebabkan pasangan tersebut sudah tiada persefahaman.

Bagaimanapun ketika siaran langsung program Melodi, Fikry yang bertindak sebagai pengacara menafikan berlaku masalah dalam rumah tangga mereka.

Sebaliknya tegas Fikry kehadiran isteri ke mahkamah adalah bertujuan membatalkan semula permohonan cerai.

Permohonan cerai berkenaan difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Untuk rekod, Fikry dan Khalizah berkahwin pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.

#Fikry Ibrahim #Peguam #Fail Cerai #Khalizah Alihan #Isteri Fikry Ibrahim #Tarik balik kes