Hiburan
Pekin Sedih Perjalanan Rimba Bara Berakhir Di Rock Bro
Pelakon Pekin Ibrahim akui sebak apabila pengarah Mamat Khalis mengumumkan filem Rock Bro merupakan naskah terakhir dan kemuncak perjalanan Rimba Bara.
Pekin atau nama sebenarnya, Mohd. Iznan Ibrahim berkata, terlalu banyak kenangan yang dilalui sepanjang melakonkan watak Slash, gitaris Rimba Bara.
“Ramai yang ingat kumpulan Rimba Bara wujud sejak dari filem Rock Oo sampai ada yang tanya bila Rimba Bara nak buat konsert?
“Tapi satu kenangan yang saya takkan lupa ialah, ketika menonton sebuah konsert vokalis kumpulan muzik yang saya tonton itu tiba-tiba umum kepada semua ‘Slash Rimba Bara’ datang tengok konsert mereka.
“Lebih mengejutkan apabila dia memanggil ‘Slash’ naik ke pentas membuat persembahan,” katanya ketawa.
Pekin ditemui ketika Majis Tayangan Media Filem Rock Bro di Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Tambah Pekin, apabila Mamat Khalid memberitahu Rock Bro naskah terakhir perasaannya menjadi sayu kerana Rimba Bara sudah sebati dalam jiwa mereka.
“Entah kenapa, saya sedih dan sayu sebab kami semua sudah mempunyai rasa sayang kepada kumpulan Rimba Bara. Tidak dinafikan, ketika proses penyuntingan dijalankan kami semua rasa sebak sehingga menitis air mata,” katanya sebak.
Sementara itu Pekin menyifatkan cabaran wataknya kali ini lebih besar berbanding Rock Oo berikutan jalan cerita lebih menjurus sisi peribadi anggota Rimba Bara.
Jika sebelum ini Slash tidak banyak cakap dan tenang, dalam Rock Bro penonton dapat melihat keperibadian sebenar karakter itu.
Slash pemarah dan panas baran. Tekanan dihadapi Rimba Bara mempengaruhi Slash hingga gagal menyembunyikan keperibadian sebenarnya itu.
“Abang Mamat bukan hanya paparkan watak Slash ketika muda tetapi turut menyingkap sejarah hidupnya sejak bayi dan apa yang berlaku kepadanya ketika tua.
“Dalam filem ini saya kena praktis tiga lagu yang pernah dipopularkan kumpulan Search, Mega dan Lestari. Ia bukan mudah, apatah lagi saya bukanlah pemain gitar profesional.
“Saya hanya tempoh sebulan untuk khatam tiga lagu itu. Untuk menampakkan diri pemain gitar profesional, saya praktis empat hingga enam jam sehari. Satu lagi cabaran besar, saya kena nyanyi lagu Datuk Ramli Sarip.
“Nak buat penonton percaya dan rasa seolah-olah mereka berada di zaman era kebangkitan rock bukan senang. Saya sudah buat yang terbaik, menjadi atau tidak biarlah penonton yang menilai,” katanya.
Filem terbitan bersama Grand Brilliance dan Enjit Semut Sdn Bhd ini akan menjengah pawagam seluruh negara awal 2016. Selain Pekin, filem ini turut dibintangi khir Rahman, Sofi Jikan, Azmi Black, Kamarool Yusoff, Shawarni, Amy Juliet dan Juliana Iskandar.
Must-Watch Video