Nama Firdaus Nadxaman mungkin tidak begitu dikenali oleh peminat industri hiburan.

Namun begitu, wajahnya dan lakonannya kerap menghiasi kaca televisyen serta layar perak.

Memulakan kerjaya dalam bidang seni dengan menghiasi karya arahan sutradara Osman Ali, Firdaus mara ke hadapan menceburkan diri dalam bidang penerbitan.

"Saya mula melibatkan diri menerusi filem Jiwa Taiko arahan Osman. Semenjak itu, langkah saya semakin aktif dan saya banyak membawa watak-watak pembantu dalam filem Sejoli, Langit Cinta, Pinjamkan Hati, Jwanita, Sinaran dan banyak lagi.

"Mahu meneroka bidang baharu, saya mencari peluang untuk menjadi penerbit pula menerusi syarikat saya sendiri, Guam Teamwork Sdn Bhd. Saya juga aktif menerbitkan filem dan drama bersiri, antaranya Langsuir, Biar Aku Jadi Imammu, Tuhan Masih Ada dan banyak lagi," katanya.

Firdaus ditemui di Havoc Food Festival 3.0 di Stadium Shah Alam pada Sabtu.

Tidak hanya terlibat dalam bidang seni, Firdaus kini melebarkan sayap dalam bidang perniagaan menerusi karnival makanan, Havoc Food Festival dan bertindak selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

"Saya akui semua bidang saya ceburi. Saya hanya ingin mencari peluang untuk mencari rezeki dan mungkin lebih selesa dikenali sebagai usahawan selebriti.

"Apapun, saya tak akan melupakan bidang lakonan. Biarpun sering membawa watak pembantu, saya tak kisah kerana saya banyak belajar dari set penggambaran," katanya lagi.

Karnival Havoc Food Festival 3.0 mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam. Turut hadir pada majlis perasmian Havoc 3.0 adalah Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Acara yang memberi peluang kepada barisan selebriti dan peniaga tempatan menjana pendapatan selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 menyaksikan pengunjung yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.