Berita

Pelakon Utama Boleh 'Demand', Bagaimana Pula Nasib Kru Produksi

gempak
Elrafaei Sapi
26/10/2018
10:15 MYT
Sponsor Banner
Pelakon Utama Boleh 'Demand', Bagaimana Pula Nasib Kru Produksi
Jika pelakon utama boleh meletakkan harga lebih tinggi pada produser untuk sesebuah projek baru, nasib kru produksi terus dibelenggu bayaran yang sama sehingga ditekan kerja lebih masa.
Isu kru produksi yang dilayan sebagai anak tiri bukanlah perkara baru berlaku dalam industri hiburan tanah air.
Malah, sudah acapkali pelbagai persatuan hiburan berusaha memperjuangkan isu ini tapi jalan penyelesaian tiada sebaliknya bayaran yang diterima golongan ini masih tetap sama.
Biro Pembangunan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Hashim berkata isu ini terus menjadi bualan hangat dalam kalangan penggiat seni yang mahu sesuatu tindakan diambil untuk mengatasinya.
"Isu ini berpanjangan kerana ramai produser terpaksa akur manakala ada pelakon pula seolah mengambil kesempatan meminta bayaran lebih tinggi," katanya kepada Astro Gempak.
Apa yang menimbulkan tanda tanya apabila pelakon yang ditawarkan watak utama untuk satu projek telefilem boleh meraih bayaran sehingga RM20,000.
"Bayaran pada mereka dinaikkan kepada RM7,000 hingga RM8,000 untuk telefilem dibandingkan bayaran maksimum, RM6,000 untuk watak utama sebelum ini," katanya.
Ahmad Hashim mengakui kru produksi juga sepatutnya mendapat bayaran lebih tinggi apatah lagi jika mempunyai kelayakan akademik mahupun pengalaman.
"Sudah tentu jika seseorang pengarah atau kru produksi yang mempunyai kelayakan akademik akan dibayar lebih tapi gaji mereka juga terpaksa dipotong produser kerana nak bayar lebih pada pelakon utama tersebut.
"Jika kita mahu melihat faktor kelayakan akedemik membuatkan gaji akan dibayar tinggi, pelakon juga perlu ada kelayakan akademik yang baik dalam bidang seni barulah dibayar lumayan.
"Bagaimanapun, lazimnya kebanyakan pengiat di sebalik tabir ini datangnya daripada pengalaman mereka," katanya.
Ujarnya, akibat bayaran tinggi pada pelakon utama juga menyebabkan produser terpaksa pendekkan masa penggambaran untuk menjimatkan kos.
"Lebih parah, pengarah dan kru produksi ini terpaksa bekerja lebih masa dengan kadar bayaran amat rendah sebab tiada banyak pilihan sama ada nak kerja atau tidak.
"Sudah menjadi kebiasaan dalam industri ini perkara menuding jari untuk mencari kesalahan daripada memperjuangkan masalah ini.
"Contohnya, ramai mengatakan FDAM perlu berjuang perkara ini sedangkan kita ada Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG) yang patut ke depan untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
Jelasnya, FDAM cuma persatuan yang hanya membela nasib pengarah yang berdaftar dengan persatuan itu sahaja dan bertindak mengikut perlembagaan persatuan.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Facebook @FDAMOFFICIAL
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live